December 18, 2024

Fattah berkongsi foto terakhir sempat dirakamkan, mohon semua pihak mendoakan yang baik-baik buatnya sekeluarga. - Foto IG Fattah Amin

KUALA LUMPUR: Tidak lama selepas Nur Fazura muat naik hantaran nekad bercerai dalam Instagram (IG), giliran suaminya, Fattah Amin membalas hantaran.

Pelakon filem Pendekar Awang: Darah Indera Gajah itu meluahkan rasa cintanya terhadap isteri dan anaknya, Nur Fatima Aisya, 4.

Menerusi entri itu, selain berkongsi gambar terakhir sempat dirakamkan, Fattah atau nama sebenarnya, Abdul Fattah Mohd Amin memohon semua pihak mendoakan yang baik-baik buat mereka sekeluarga.

“Doakan yang baik-baik buat kami. Apa-apapun Daddy akan sentiasa menyayangi anda berdua. #lastpicturetaken,” tulisnya.


Terdahulu, Fattah dilapor tidak bersetuju melepaskan Fazura ketika sebutan kes permohonan perceraian di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari, di sini, pagi tadi.

Mahkamah kemudian menangguhkan kes perceraian pasangan selebriti itu ke tarikh baharu pada 7 Oktober ini.

Isu keretakan rumah tangga Fazura dan Fattah hangat diperkatakan dalam media sosial apabila mereka dikatakan sudah tidak lagi meninggalkan komen atau tanda suka dalam hantaran dalam akaun masing-masing.

Tidak cukup itu, kisah rumah tangga Fazura dan Fattah dibincangkan di laman sembang hingga menarik perhatian netizen.

Pada 13 September lalu, BH melaporkan, Fazura memfailkan permohonan cerai terhadap Fattah di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari, di sini.

Butiran lanjut tidak diperincikan mengenai permohonan cerai, namun, ia mengejutkan ramai pihak. Sehingga kini, isu yang berlaku antara Fazura dan Fattah masih menjadi tanda tanya.

Bagaimanapun, Fattah dilapor berkata, dia terkejut apabila menerima berita isterinya memfailkan perceraian dan hanya mengetahui perkara itu menerusi media sosial.

Fazura dan Fattah mendirikan rumah tangga pada 27 November 2017. Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan cahaya mata perempuan, Nur Fatima Aisya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *