December 22, 2024

Calon PN Haizan Jaafar berdepan soalan bertalu-talu berkenaan usaha tebatan banjir di Kampung Bentong, Kluang ketika berkempen hari ini.

Menurut Haizan, pemilik salah sebuah rumah berdekatan Sungai Melantai merungut pihak berwajib dan ketua kampung gagal menyelesaikan masalah banjir di kawasan itu.

Dia kemudian berkata akan memberi bantuan namun dilihat tidak bersedia ketika ditanya wartawan berkenaan apa usaha yang akan dilakukannya untuk menyelesaikan masalah itu yang sudah ada sejak dua dekad lalu.

“Kena besarkan lagilah sungai itu” katanya, sebelum seorang wartawan berkata sungai di situ tidak boleh diluaskan lagi.

Haizan kemudian membalas: “Dalamkan.”

Wartawan sama kemudian berkata sebanyak RM800,000 telah diperuntukkan untuk mendalamkan sungai.

Haizan kemudian meminta bantuan bekas ketua kampung Zailan Kadir, yang turut menyertai kempen hari ini, untuk memberi jawapan bagi pihaknya.

Zailan berkata banjir kerap berlaku sejak 2004 dan sangat menjejaskan kehidupan penduduk.

“Biasanya, bila hujan lebat lebih 40 minit, banjir akan berlaku di kampung ini dengan air naik sehingga paras pinggang. Kalau hujan lebih lama, boleh cecah ke paras bumbung rumah,” katanya.

Dia mendakwa “tiada perkembangan” dalam proses pembinaan kolam tadahan banjir Sungai Melantai yang berkeluasan 35 hektar, walaupun Adun Mengkibol Chew Chong Sin ada membangkitkan isu itu sebelum ini.

Haizan bagaimanapun menegaskan dia akan memenuhi janjinya untuk menyelesaikan masalah banjir di situ.

“Kalau saya menang di DUN Mahkota ini, insyaAllah saya akan ambil tindakan dan bawa isu ini ke sidang DUN. Saya akan jadi pembangkang dengan suara yang kuat,” katanya lagi.

Pada Mei tahun lalu, Chew berkata RM5 juta telah diperuntukkan untuk projek tadahan banjir Sungai Melantai.

SPR menetapkan hari mengundi bagi PRK DUN Mahkota pada 28 September ini, dengan hari mengundi awal pada 24 September.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *