December 22, 2024

Foto IG Nabila Huda

SERDANG: Pelakon Nabila Huda mengakui seronok melayan dan terhibur dengan keletah personaliti media sosial, Kasih Iris Leona meskipun ada segelintir pihak menyifatkan gadis itu sebagai menjengkelkan.

Enggan mengambil peduli kecaman dilemparkan netizen terhadap Leona, Nabila sebaliknya melihat gadis remaja itu memiliki banyak sifat positif dan tidak sombong.

“Dia sangat baik dan seronok bekerja dengannya kerana jenis ‘masuk air’. Kami memang rapat. Dia suka buat video TikTok dan minta saya buat video bersama.

“Walaupun penat, tapi saya layankan juga. Kami berkongsi perangai sama.

“Di seorang yang bijak, berbakat, bijak, bukan biasa-biasa dan tak ‘bimbo’,” katanya ditemui BH Online pada majlis sidang media dan pelancaran filem Gayong di Astana Zoutra, Universiti Putra Malaysia (UPM), di sini, semalam.

Nabila atau lebih mesra disapa Abil berkongsi pengalaman menjayakan sebuah program realiti bersama anak kepada pelakon senior, Azhar Sulaiman itu.

Program berjudul Buka Kedai itu berkonsepkan bisnes makanan dan penggambaran berlangsung selama 14 hari di Jepun.

Sepanjang berada di negara matahari terbit itu, Nabila memberitahu selain melakukan aktiviti bersama, dia juga turut berkongsi ilmu berkaitan penggambaran dengan Leona.

“Di sana kami sering keluar jalan-jalan bersama. Bila bersama Leona, dapat juga saya ubat kerinduan pada anak saya, Keisha.

“Kadang-kadang pernah juga saya tinggalkan dia. Bila saya balik, dia tanya saya kenapa tinggalkan dia. 

“Tiga hari pertama sahaja, Leona macam ‘blur’ sebab masih tak faham dengan kerja penggambaran. 

“Dia banyak bertanya mengenai pengalaman dan berkongsi impian untuk muncul di kaca televisyen, suatu hari nanti,” cerita Nabila.

Mengangkat kisah pengasas Silat Seni Gayong, Allahyarham Datuk Meor Abdul Rahman, karya epik itu diarahkan oleh Faisal Ishak.

Selain Nabila, ia turut dibintangi Beto Kusyairy, Syafie Naswip, Yayan Ruhian dan ramai lagi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *