December 27, 2024

Ketua Pemuda Umno, Dr Akmal Saleh mencabar Teresa Kok supaya menyaman ChatGPT selepas ahli parlimen DAP itu menyalahkan aplikasi berkenaan dan unsur sensasi oleh pihak media berhubung kenyataannya mengenai isu pensijilan halal.

“Sebelum ni salah Dr Akmal katanya. Sekarang dah jadi salah ChatGPT pula ya. Apa punya lawaklah nyonya ni.

“Mohon saman juga ChatGPT tu ya. Tak sabar rasanya nak lawan di mahkamah,” katanya pada hantaran di Facebook.

Semalam, Kok memberitahu Mingguan Malaysia bahawa terjemahan ChatGPT dan tumpuan media terhadap unsur sensasi adalah punca kenyataannya mengenai cadangan sijil halal menjadi kontroversi.

“Sewaktu polis menyiasat saya, mereka menunjukkan saya laporan berita yang disiar oleh portal berita tempatan dan kenyataan asal saya daripada Facebook. Polis bertanya kepada saya dengan merujuk setiap perenggan dalam kenyataan itu. Saya pun berterus teranglah.

“Kenyataan asal saya sebenarnya dalam bahasa Mandarin dan saya mengarahkan pekerja saya yang berbangsa Melayu yang fasih bertutur dan menulis dalam Mandarin untuk menterjemahkan ke bahasa Melayu.

“Namun, disebabkan pekerja saya tergesa-gesa ke luar negeri menjalankan tugas, maka, kenyataan ini diterjemah menggunakan varian model bahasa ChatGPT kerana lebih cepat. 

“Namun, ada perkataan tertentu yang diterjemah ‘lari’ daripada maksud asal dan pihak kami pula kurang teliti dengan perkataan yang digunakan,” katanya seperti dipetik.

Kok disiasat oleh polis berhubung kenyataannya mengenai cadangan kerajaan untuk mewajibkan sijil halal di restoran dan perniagaan makanan yang tidak menjual daging khinzir dan alkohol.

Dia juga memfailkan saman terhadap Akmal pada 11 September lalu.

Ini selepas ketua pemuda Umno itu menggelar Kok sebagai “Nyonya tua” dan mengingatkannya supaya tidak campur tangan dalam hal ehwal Islam, selain meminta kerajaan menyediakan logo tidak halal untuk ‘ditampal’ di dahi pemimpin DAP itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *