December 22, 2024

Kuala Lumpur: “Walaupun sekadar lakonan, perbuatan itu menuju ke arah sesuatu yang haram malah tak sesuai dan bukan selari dengan ajaran Islam.” 

Demikian reaksi Mufti Pulau Pinang, Prof Madya Dr Mohd Sukki Othman ketika diminta mengulas mengenai perkongsian video pencipta kandungan wanita dan anaknya yang melakonkan watak sebagai suami isteri dalam video dimuat naik di TikTok. 

Menurut Mohd Sukki, pembikinan video dan babak lakonan seumpama itu perlu dielakkan tidak kira untuk simpanan sendiri mahupun tontonan umum.

Katanya, niat dan matlamat tidak menghalalkan cara kerana dikhuatiri perlakuan diketengahkan dalam video itu akhirnya akan menggalakkan kepada perbuatan sumbang mahram.

“Asasnya daripada sudut moral sudah tak kena malah apa yang tak betul tetap tak betul. Bukan untuk tontonan umum pun tak betul lebih-lebih lagi ditonton kerana anak tetap anak.

“Biarpun sekadar lakonan dan tanpa dialog sekalipun, mereka kena hayati jadi penghayatan itu yang akan memberi implikasi negatif terutama dalam pembentukan anak.

“Walaupun cuma lakonan, penghormatan sebagai ibu sudah tiada. Ibu bapa kena memberi kasih sayang kepada anak sebagai anak, bukan pasangan.

“Begitu juga anak kena menghormati, taat dan melayan ibu bapa sesuai dengan status sebagai anak bukan dididik sebagai suami atau pasangan jadi kena hati-hati terutama dalam zaman sekarang ini,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Justeru, Mohd Sukki menasihatkan pencipta kandungan supaya merujuk individu yang pakar dan arif dalam soal agama sebelum memuat naik sebarang video atau perkongsian yang sensitif.

“Jika berkaitan isu yang tak pasti, sebaiknya rujuk dan tanya dulu dengan pakar, ustaz mahupun ustazah.

“Rujukan itu penting supaya mereka tahu apa yang boleh dan tak boleh dibuat serta dikongsi.

“Kita bimbang bila tak dirujuk, lebih daripada itu berlaku sampai tahap melakukan yang tak betul,” katanya.

Harian Metro melaporkan pencipta kandungan wanita Nur Hidayah Ash’ari, 35, tampil memohon maaf secara terbuka susulan perkongsian video lakonan dengan anak sulungnya berusia 14 tahun, yang mengundang kecaman warganet kerana membawakan watak sebagai suami isteri di TikTok.

Segelintir warganet mengatakan perkongsian video itu menjijikkan dan menuduh Nur Hidayah membenarkan perlakuan pengantunan seksual atau child grooming.

Wanita itu dipetik berkata, dia berlapang dada menerima teguran itu dan akan cuba perbaiki kelemahan.

Terdahulu, tular di laman sosial video dua beranak melakonkan watak suami isteri yang dimuat naik di TikTok.

Perkongsian itu mengundang kecaman warganet yang rata-ratanya menganggap video dimuat naik menjijikkan dan membenarkan perlakuan pengantunan seksual atau child grooming. 

Menyedari kesilapannya, pencipta kandungan wanita itu tampil memohon maaf secara terbuka menerusi video dimuat naik di TikTok semalam.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *