December 3, 2024

Elly memilih dua cahaya matanya berada di belakang tabir dan bebas membesar seperti anak-anak lain.

KUALA LUMPUR: Pelakon, penyanyi dan pengacara popular, Elly Mazlein, 44, mengakui memilih ‘sembunyi’ wajah dua cahaya matanya dengan emoji pada setiap hantaran foto dimuat naik dalam Instagram (IG).

Elly atau nama sebenarnya, Sharifah Aida Mazlina Syed Hanafi berkata, dia bertindak demikian kerana berasakan lebih banyak kebaikan apabila tidak berkongsikan foto anak-anaknya dalam media sosial.

“Saya memang memilih sembunyi wajah anak dalam media sosial selagi mampu. Ini kerana, saya hanya meletak emoji dalam dalam IG sahaja.

“Tetapi, kalau di luar (berjalan-jalan bersama keluarga) saya okay dan tak adalah anak-anak sampai kena pakai topeng. Memang di luar, ada orang yang terjumpa pasti akan menegur Sefhia sudah besar.

“Cuma, dalam media sosial sahaja tak ‘share’ (kongsi) sebab lagi banyak kebaikan,” katanya kepada Harian Metro ketika ditemui pada majlis pelancaran cawangan kelima kedai emas, Merchant9 di Wangsa Maju, semalam.

Dalam acara itu, Elly yang mesra dengan panggilan Kak Lina Pom Pom dilantik sebagai duta, selain majlis pelancaran dilaksanakan oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri.

Elly yang juga penyampai radio berkata, ia bagaimanapun terpulang kepada ibu bapa masing-masing sama ada mahu atau tidak berkongsi foto anak dalam media sosial.

“Setiap ibu bapa ada cara untuk membuat perkongsian anak-anak dalam media sosial). Saya memang memilih biarlah anak-anak berada di belakang tabir.

“Sebab, saya nak anak saya membesar seperti anak-anak yang lain. Macam kita dulu-dulu, dia bebas keluar dan tak dapat perhatian ramai. Saya nak anak-anak saya rasa begitu.

“Nanti, apabila sudah besar ikut kepada Sefhia sama ada nak ada akaun media sosial sendiri seperti IG, TikTok dan sebagainya,” katanya.

Menurut Elly, dia bersyukur anak perempuannya faham dengan tindakan dibuat kerana didikan diberikannya kepada Sefhia secara dewasa apabila menjelaskan kebaikan dan keburukan terhadap sesuatu perkara itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *