September 19, 2024

Sungai Petani: Polis Kedah mengesan operasi dipercayai membabitkan perniagaan Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISB) di tiga daerah di negeri ini.

Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh berkata, polis sedang mengumpul maklumat lengkap berhubung kegiatan kumpulan ini yang masih beroperasi di Daerah Kuala Muda, Kubang Pasu dan Padang Terap.

Beliau berkata, pihaknya sudah mengenal pasti sekolah, restoran dan taman asuhan.

“Setakat ini belum ada laporan tetapi pihak kami sedang mendapatkan maklumat lengkap seperti mana yang berlaku di negeri lain,” katanya ketika menhadiri Majlis Perasmian Hari Bertemu Pelanggan peringkat Daerah Kuala Muda di Tanjung Dawai, di sini hari ini.

Fisol berkata, pihaknya kini sedang menunggu laporan lengkap di negeri lain untuk tindakan seterusnya.

Katanya, sejak Op Global dilancarkan oleh Cawangan Khas dan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman terhadap 20 rumah amal GISB di Selangor dan Negeri Sembilan baru-baru ini pihaknya menggerakkan siasatan lanjut terhadap premis perniagaan dan rumah amal yang dilakukan kumpulan itu di negeri ini.

Sebelum ini media melaporkan, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman melancarkan serbuan terhadap 20 buah rumah amal di Selangor dan Negeri Sembilan susulan dakwaan berlakunya eksploitasi kanak-kanak serta amalan seks luar tabii.

Melalui serbuan itu pihak polis berjaya menyelamatkan 402 kanak-kanak yang berumur antara setahun hingga 17 tahun yang dieksploitasi dan menahan 171 suspek berusia antara 17 hingga 64 tahun.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *