December 22, 2024

Bella tidak boleh terus membiarkan dirinya larut dalam kesedihan dan perlu bangkit menjalani kehidupan. - NSTP/Aiman Hariz Azhar

KUALA LUMPUR: Pelakon dan penyanyi, Bella Astillah enggan membiarkan perasaan sedih terus menyelubungi diri selepas pelbagai rintangan hidup dilalui termasuk ujian perceraian bersama bekas suami, Aliff Aziz.

Biarpun masih dalam fasa menyembuhkan hati yang terluka, Bella atau nama sebenar, Dayang Ara Nabellah Awang Astillah berkata, dia tidak boleh terus membiarkan dirinya larut dalam kesedihan dan perlu bangkit menjalani kehidupan.

“Sebenarnya, saya masih dalam fasa menyembuhkan diri dan mahu bangkit. Apa yang pernah menimpa membuatkan saya jatuh, kalau boleh saya tak mahu lagi sebarkan aura sedih.

“Tapi, bagi sesiapa yang tengah bersedih, saya tidak kata ia salah. Perasaan sedih itu tiada masalah kerana saya juga ada ketika merasakan sebegitu.

“Namun, tak boleh sedih lama-lama. Macam sekarang saya ada mama, ayah dan anak-anak, ia buat saya sedar bahawa hidup ini perlu diteruskan.

“Jangan terlalu lama bersedih sebab itu tidak baik untuk orang yang menyayangi saya kerana mereka pasti akan sedih bila lihat kita berduka,” katanya ditemui selepas sesi rakaman Podcast Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) Ke-36 di Balai Berita, Bangsar, di sini, baru-baru ini.

Bella berkata, dia mahu menumpukan perhatian terhadap perkara positif sahaja dan selebihnya berserah dengan apa yang sudah diaturkan Allah SWT untuk dirinya.

Mengulas komen negatif berlegar dalam ruang media sosial, Bella menegaskan dia enggan ambil pusing dengan perkara itu, sebaliknya hanya mahu mengambil semua perkara dari sudut positif.

“Sejujurnya, dulu memang saya akan baca setiap komen diberikan dalam media sosial dan kadang-kadang akan beremosi disebabkan itu. Tapi, untuk sekarang, contoh dalam 100 komen adalah 30 negatif, selebihnya 70 positif. 

“Kenapa perlu fokus kepada komen negatif, sedangkan ada 70 lagi yang bercakap baik mengenai kita. Jangan letakkan titik hitam dalam diri, biarkan pembenci sebab kita tak boleh buat semua orang sukakan kita. 

“Fokus kepada orang yang suka dan menghargai kita sahaja sebab itu yang akan membuatkan diri tenang,” katanya.

Mengenai pencalonan dalam dua kategori ABPBH 36, iaitu Aktres TV Popular dan Artis Sensasi Popular, Bella bersyukur kerana bakatnya dalam industri seni dipandang.

Aktres kelahiran Sandakan, Sabah itu juga berterima kasih dengan sokongan peminat yang sehingga kini tidak jemu berkempen sejak ABPBH 36 dilancarkan pada 22 Ogos lalu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *