September 19, 2024

Pengerusi PN Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal. Foto fail

KLUANG: “Lebih baik kamu (Datuk Nur Jazlan Mohamed) fikir kerusi mana hendak bertanding daripada bercakap pasal parti orang,” kata Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal.

Kenyataan itu reaksi kepada kenyataan Ketua UMNO Bahagian Pulai itu yang mendakwa Pilihan Raya Kecil (PRK), Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota adalah medan terakhir BERSATU dalam arena politik tanah air.

Dr Sahruddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kepong menyifatkan, tindakan Nur Jazlan mengeluarkan kenyataan itu kerana beliau sedang berusaha untuk membangkitkan semula karier politiknya selepas gagal merampas Parlimen Pulai sejak 2018.

“Adakah beliau sudah terfikir kerusi mana untuk bertanding pada PRU16 atas nama kerajaan Perpaduan? Di Johor, UMNO mempunyai 40 ADUN, namun parlimen hanya 10, sedangkan PH (Pakatan Harapan) menpunyai 14 parlimen.

“Pada 2020, kami berkorban demi membentuk kerajaan PN walaupun dengan majoriti hanya satu kerusi berbanding PH (28-27) selepas UMNO kalah teruk dalam PRU14 sehingga tidak dapat membentuk kerajaan negeri.

“Apa yang beliau bangga sangat sedangkan Johor bukanlah Kerajaan Perpaduan,” katanya ketika ditemui.

Pada masa sama, Dr Sahruddin mengakui BERSATU kalah di Pulai namun undi Melayu meningkat dan berpihak kepada partinya.

Katanya, di DUN Mahkota pula, adalah satu kawasan mencabar, namun dalam situasi sekarang beliau yakin PN mampu merampasnya.

“Senario politik sekarang adalah BERSATU dan PN tetap menjadi pilihan terutama orang Melayu dan atas sebab itu, kami perlu bekerja keras di DUN ini untuk merampasnya,” katanya.

Terdahulu, Nur Jazlan mendakwa BERSATU akan mengalami nasib sama seperti parti Semangat 46 dan berkemungkinan akan kalah dalam PRK DUN Mahkota selepas beberapa kali tewas dalam beberapa PRK sebelum ini termasuk di Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *