September 19, 2024

Anna serah kepada peminat kerana mereka lebih tahu apa yang perlu dilakukan untuk melihatnya beroleh kemenangan. - NSTP/Saifullizan Tamadi

KUALA LUMPUR: Sungguhpun menjulang empat trofi pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) Ke-35, pelakon jelita, Anna Jobling tidak meletakkan harapan tinggi mengulangi kejayaan tahun lalu.

Membolosi calon awal bagi kategori iaitu Aktres TV Popular dan Couple TV Popular, Anna atau nama sebenarnya, Anna Ellisa Gustin Jobling berkata, dia enggan kecewa jika tidak menang pada malam kemuncak ABPBH 36.

Bintang berdarah kacukan Melayu-Inggeris-Portugis itu berkata, dia lebih selesa menyerahkan semuanya kepada ketentuan rezeki.

“Saya tidak pernah ada harapan nak menang atau rasa akan menang kali ini. Kalau ada rezeki, Alhamdulillah.

“Jika tiada rezeki, saya tidak rasa kecewa sebab saya memang tak letak harapan,” katanya kepada BH Online.

Berkongsi lanjut, Anna yang mencipta populariti menerusi drama rantaian Melur Untuk Firdaus itu berkata, dia percaya kepada usaha peminatnya.

“Saya percaya kalau ada rezeki tak ke mana. Saya serahkan kepada peminat kerana mereka yang lebih tahu apa yang perlu dilakukan untuk lihat saya menang.

“Tapi, saya tidak meletakkan tekanan kepada mereka. Saya juga tak pernah paksa peminat mengundi. Cuma, saya katakan kalau nak sokong saya jangan lupa undi.

“Kalau tak nak undi tak mengapa. Tetapi, saya tahu peminat ikhlas sayangkan saya dan mereka selalu mengundi untuk saya. Saya berterima kasih dengan usaha mereka,” katanya.

Menerusi kategori Couple Drama Popular, Anna dicalonkan bersama Amir Ahnaf menerusi drama Syurga Itu Bukan Mudah dan Meerqeen menerusi drama Melur Untuk Firdaus 2.

Ditanya harapan mengulangi kejayaan kategori Couple Drama Popular, Anna enggan meletakkan harapan gandingannya bersama Meerqeen menang buat kali kedua.

“Kalau peminat nak undi, saya okay sahaja. Kalau tak mahu undi pun tak mengapa. Saya tak kisah menang atau kalah,” katanya.

Tidak hanya diberi kepercayaan mendukung watak utama sebagai duyung menerusi filem sekeul Duyung: Lagenda Aurora, Anna juga akan tampil menerusi dua filem di Indonesia.

Anna berkata, dia akan tampil menerusi filem seram arahan Baim Wong, Lembayung dan filem Laut Tengah yang akan menjengah pasaran Indonesia, mulai bulan ini.

“Filem Lembayung akan menjengah pawagam pada 19 September ini. Manakala, filem Laut Tengah pula akan keluar, bulan depan.

“Saya bersyukur video lakonan saya dalam Lembayung kini ‘viral’ di TikTok.

“Jujurnya, saya sendiri tak sabar nak tengok filem Lembayung, tapi kalau nak suruh saya komen lakonan, saya tak boleh. Anda kena tengok sendiri, seram atau tidak. 

“Tapi, apa yang boleh katakan pengalaman ‘shooting’ filem Lembayung sangat seronok dan mencabar,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *