December 22, 2024

Resit pembelian makanan segera dari sebuah restoran di Taman Inderawasih, Perai yang tertera catatan menghina agama Islam. - Foto tular

BUKIT MERTAJAM: Polis membuka kertas siasatan berhubung resit pesanan seorang pelanggan di sebuah restoran makanan segera di Taman Inderawasih, Perai, di sini, yang tertera catatan berbaur provokasi menghina agama Islam hingga ia tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Helmi Aris, berkata pekerja restoran terbabit sudah tampil membuat laporan polis semalam berhubung insiden berkenaan.

Beliau berkata, berdasarkan laporan itu, pekerja mendakwa menerima satu pesanan dalam talian daripada pelanggan melalui laman web premis terbabit pada jam 8.27 malam.

“Semakan yang dibuat pada resit pesanan itu terdapat catatan ‘remarks’ yang menghina agama Islam yang dihantar oleh individu tidak bertanggungjawab.

“Melalui laporan pekerja itu, polis kemudian melakukan siasatan terhadap individu yang membuat pesanan terbabit, namun dia menafikan membuat pesanan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, individu berkenaan mendakwa laman web restoran terbabit tidak mempunyai ciri-ciri keselamatan pengguna untuk membuat pesanan.

“Ia apabila dia mengesyaki butir-butir peribadi dan alamatnya disalahguna oleh individu lain.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955,” katanya.

Terdahulu, tular di media sosial hari ini apabila paparan resit yang tertera tarikh tempahan pada 13 September lalu itu dimuat naik dan dikongsi pengguna.

Resit tempahan yang beralamat di sebuah bengkel motosikal itu memaparkan ucapan berbunyi ‘Islam is shit and pee’.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *