December 3, 2024

Pengilang mengesahkan bahawa semua daging dicincang dan diperiksa dengan mesin X-ray untuk serpihan tulang, menjadikannya sangat tidak mungkin untuk gigi manusia tidak dapat dikesan. - Foto AGENSI

BEIJING: Seorang wanita di China terkejut selepas mendakwa menemukan gigi manusia dalam kuih bulan berisi daging yang dibelinya dari pasaraya Sam’s Club di Changzhou, Jiangsu, China Timur.

Wanita itu memuat naik video penemuan mengejutkan itu di platform perkongsian video China, Douyin pada 5 September lalu ketika sedang makan kuih bulan yang dibeli dengan harga 30 yuan (RM18.20).

Dalam video itu, kelihatan tangan individu memegang sesuatu seperti gigi geraham manusia, dengan inti daging terperangkap di dalamnya, di atas sekeping kertas tisu di atas kuih bulan yang sudah separuh dimakan.

“Keluarga saya baru sahaja makan ini… lihat apa yang mereka makan? Ia menakutkan,” katanya menerusi suara dalam video itu.

Katanya, gigi itu bukan milik mana-mana ahli keluarganya.

Dia segera melaporkan kejadian itu kepada polis, lapor South China Morning Post hari ini.

Seorang pengguna Douyin berkata, ia adalah menjijikkan untuk menemukan gigi orang dalam kuih bulan. 

Dalam laman X, video itu turut dikongsi seorang pengguna dengan kapsyen ‘Ia bukan sahaja mengandungi daging, tetapi juga menyediakan kalsium’.

Menurut laporan Yangtze Evening News, Sam’s Club, rangkaian pasar raya dari Amerika Syarikat (AS) sudahpun melakukan siasatan dalaman.

Sementara itu, pengeluar kuih bulan yang tidak dinamakan menegaskan bahawa kejadian seperti itu adalah ‘mustahil’, lapor Hongxing News.

Menurut seorang jurucakap yang bernama Liu, semua daging yang digunakan dalam produk mereka dihancurkan dengan teliti dan diperiksa menggunakan teknologi sinar-X untuk mengesan serpihan tulang, menjadikan kehadiran gigi manusia adalah sangat mustahil. 

Liu mendakwa bahawa masalah seperti ini tidak pernah berlaku dalam lebih dari satu dekad pengeluaran sebelum ini. 

Rakaman CCTV dari pengeluar sudah diserahkan kepada Sam’s Club dan pihak berkuasa kawal selia tempatan.

Ini bukan kali pertama Sam’s Club, rangkaian keahlian popular menghadapi kritikan atas kelemahan keselamatan makanan di China.

Pada 2022, seorang lelaki dari wilayah Fujian memecahkan giginya selepas didakwa menggigit kek ‘Swiss roll’ yang mengandungi tiga gigi tiruan manusia.

Walaupun Sam’s Club berjanji untuk menjalankan siasatan, tiada kesimpulan yang diumumkan secara terbuka.

Pada tahun sama, pasar raya terbabit didenda 30,000 yuan (RM18,184) kerana menjual strawberi berkulat, dan 65,000 yuan (RM39,400) kerana membekal susu tepung tamat tempoh, di cawangan lain di seluruh negara.

Sam’s Club, yang memasuki pasaran China pada 1996 kini mengendalikan 49 lokasi telah dikenakan lebih dari 20 denda kerana melanggar peraturan keselamatan makanan dan pengiklanan palsu.

Bagaimanapun, rangkaian ini mempunyai lebih dari 5 juta ahli, masing-masing membayar sekurang-kurangnya 260 yuan (RM157.60) setiap tahun untuk keahlian. – AGENSI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *