December 22, 2024

MUKTAMAR PEMUDA PAS l Seorang perwakilan Pemuda PAS mentafsir kejadian lubang benam berhampiran Masjid India, Kuala Lumpur, baru-baru ini sebagai tanda bala dari Allah SWT. 

Perwakilan Pemuda PAS Kawasan Machang Mohd Sharif Mohd Azhari turut mendakwa kejadian itu juga boleh terjadi susulan apa yang dibuat oleh Menteri Wilayah Persekutuan dan pembinaan Menara Berkembar Petronas (KLCC) di Kuala Lumpur.

Memetik ayat daripada surah al- Ankabut katanya, salah satu bala Allah adalah menenggelamkan manusia ke dalam bumi.

“Terjadi di Kuala Lumpur bandar utama negara Malaysia seorang wanita (warga) India yang hilang tak jumpa-jumpa, hanya jumpa selipar sampai sekarang tak jumpa, Allah sebut itu bala Allah.

“Walaupun kita sedih sebagai sesama manusia, kita kena sedih apa yang berlaku kepada wanita India tersebut.

“Cuma kita kena nampak ini bala Allah, boleh jadi juga kerana ada apa yang dibuat oleh Menteri Wilayah Persekutuan terhadap tanah-tanah yang berlaku di Kuala Lumpur,” katanya ketika membahaskan usul Muktamar Pemuda PAS ke-65 di Kerdau, Temerloh, hari ini.

Usul tersebut berbunyi “Pemuda PAS mengutuk sekeras-kerasnya campur tangan DAP terhadap urusan umat Islam”.

Mohd Sharif bagaimanapun tidak menyebut menteri mana yang dimaksudkan dalam kenyataannya, namun KLCC dibina ketika Dr Mahathir Mohamad menjadi perdana menteri keempat.

Malah menurutnya, dia memperolehi maklumat melalui dokumentari pembinaan KLCC yang diterbitkan oleh National Geographic.

“Itu ambo (saya) tengok National Geographic semasa dia buat (KLCC). Dalam National Geographic itu, dia tunjuk dia kata masa nak buat peringkat awal, ada satu bahagian memang tak sepatutnya KLCC boleh dibina di situ.

“Sebabnya tanah itu tanah kambus dan di bawah Kuala Lumpur ini kita tahu dah tempat persimpangan perjumpaan dua sungai, kuala ini tempat jumpa (pertembungan) dua sungai menjadi satu sungai. Dan di situ kita tahu tempat berlumpur, kuala berlumpur,” jelasnya.

Tambahnya, keadaan itu dilihat sebagai satu bala yang sekiranya tidak disekat kejahatan DAP.

“DAP ini jahat, buat kerja jahat dan kita biarkan dan kita kena sebut perkara ini,” katanya yang menyokong penuh usul dibentangkan oleh Ketua Pemuda PAS Kelantan Mohamad Kamal Mohamed.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *