December 22, 2024

Menerusi hantaran dimuat naik, Aweera berharap individu yang bertanggungjawab terhadap pelakuan kejam sehingga menyebabkan sepupunya terbunuh dibawa ke muka pengadilan. - Foto IG Aweera

KUALA LUMPUR: Penyanyi Aweera berharap kematian bekas pelumba Moto 3 dan Cup Prix negara, Allahyarham Elly Idzlianizar Elias, 40, awal pagi semalam disebabkan kecederaan parah akibat ditetak dan ditikam mendapat pembelaan sewajarnya.

Menerusi hantaran dimuat naik dalam Instagram (IG), Aweera atau nama sebenarnya, Nasharul Aweera Norhissham, 33, turut berharap individu yang bertanggungjawab terhadap pelakuan kejam itu dibawa ke muka pengadilan.

“Orang yang kau tetak tu darah daging aku. Semoga ada keadilan untuk Abang Ijar (Elly).

“Semoga pelaku mendapat hukuman setimpal! Takbir. ‘Allahuakbar’,” tulis Aweera sambil disertai dengan emoji tangisan.

Dalam perkongsian berlainan, vokalis kumpulan Mojo itu turut mengajak peminat dan pengikut dalam IG mendoakan Allahyarham Elly.

“Abang Ijar (Elly). ‘Allahuakbar’, Ya Allah sama-sama kita sedekahkan al-Fatihah untuk abang sepupu saya,” tulisnya.

Sementara itu, meninjau ruangan komen, ramai pengikut termasuk rakan selebriti mengucapkan takziah kepada penyanyi Romancinta itu atas ujian yang dilalui. 

Terdahulu, polis mengesahkan kematian Allahyarham Elly disebabkan kecederaan parah akibat ditetak selepas terbabit dengan pergaduhan di Kangar.

Kejadian dipercayai berlaku antara jam 9 hingga 10 malam kelmarin apabila mangsa dipercayai pergi ke rumah seorang lelaki berusia 51 tahun di Taman Behor Gonchar Jaya, Jalan Dato Ali, Kangar.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *