December 22, 2024

Nora reda dengan apa yang terjadi jika ditakdirkan perpisahan bersama Dr Rushdi kekal buat selama-lamanya. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

KUALA LUMPUR: Penyanyi Datuk Nora Ariffin menyerahkan kepada takdir mengenai kemungkinan untuknya rujuk kembali dengan bekas suami, Dr Rushdi Ramli selepas bercerai dengan talak satu, Ogos lalu.

Nora atau nama sebenarnya, Wan Norafizah Wan Ariffin berkata, dia reda dengan apa yang terjadi jika ditakdirkan perpisahan itu kekal buat selama-lamanya.

“Mengenai kemungkinan rujuk semula, saya bersangka baik dan serah pada Allah. Saya memang tak pernah terfikir akan bercerai. 

“Lainlah kalau berlaku perselisihan faham. Sampai sekarang saya masih lagi terkejut dengan perceraian ini.

“Kalau ditakdirkan berbaik semula, mungkin Allah nak panjangkan lagi jodoh kami. Namun, jika sebaliknya, tak perlulah nak salahkan sesiapa.

“Kalau nampak kami bersama, bermaknanya saya dan bekas suami sudah berbaik. Ada pasangan atau suami, saya bersyukur. Kalau tiada, saya okay sahaja,” kata Nora ketika ditemui pada majlis sidang media Konsert Hanya Satu Datuk Nora Ariffin 30 Years Journey di BsyncLive Hall, semalam.

Konsert dibawakan khas oleh syarikat Nora sendiri, Johan Nawawi Sdn Bhd (JNSB) itu bakal diadakan di Stage 1 Theare, PJ PAC, 1 Utama, Petaling Jaya pada 18 Disember depan.

Mengulas hubungannya dengan Dr Rushdi, penyanyi Renungan Terakhir itu mengaku mereka masih kekal berbaik.

“Kami tak pernah bergaduh atau berlaku pertelingkahan kerana perceraian yang berlaku bukan atas kerelaan bekas suami. Jadi, nak kata kami berdamai itu tidaklah.

“Kami memang baik macam biasa. Tak ada perkara berbangkit selepas perceraian. Cuma, kami perlu selesaikan kes perceraian ini mengikut perundangan di mahkamah.

“Insya-Allah, tak akan ada perkara buruk berlaku. Semuanya baik-baik sahaja,” ujar ibu kepada empat cahaya mata ini.

Meskipun tidak lagi bersama, namun penyanyi bervokal gemersik itu berkata, dia masih mengenang bekas suaminya itu sebagai insan yang berhati mulia.

“Dia seorang yang sangat baik. Walaupun tidak 100 peratus, namun dia mengingatkan saya kepada sifat yang ada pada arwah suami, Johan Nawawi.

“Sebahagian karakter Johan, ada pada dirinya. Dia juga seorang yang sangat memahami. Bukan mudah untuk suami menerima isteri yang masih lagi belum mampu melupakan arwah suami.

“Tapi, dia boleh terima. Malah, jika saya terlalu sibuk, dia akan ingatkan saya untuk ziarah kubur arwah Johan. 

“Sebagai wanita, perkara seperti ini sangat menyentuh hati. Untuk cari laki yang kaya dan kacak, memang mudah. Tapi, nak cari yang betul-betul faham diri kita, sangat payah,” luahnya.

Pada 12 Ogos lalu, Nora memuat naik video bekas suaminya menceraikannya dengan talak satu menerusi satu video berdurasi 52 saat dalam Instagram.

Bagaimanapun, Nora berkata perceraian tersebut berlaku sebelum tarikh video itu dimuatnaik.

Selepas video tular, Nora menerima kecaman ramai dan mempertahankan bekas suaminya serta memaklumkan perkara itu bukanlah atas kehendak suaminya.

Pasangan itu bergelar suami isteri pada 2021, malah Rushdi adalah sahabat baik Allahyarham Johan.

Johan yang juga komposer tersohor meninggal dunia pada 24 Mac 2017 akibat serangan jantung pada usia 52 tahun.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *