September 19, 2024

MUKTMAR PEMUDA PAS l Ketua Pemuda PAS, Afnan Hamimi Taib Azamudden menganggap cubaan media untuk mendapatkan ulasannya mengenai cadangan seorang perwakilan yang menyarankan supaya perkhawinan rentas kaum ataupun rentas budaya digalakan dengan wanita bukan Melayu bagi langkah meraih undi sebagai “soalan perangkap”.

“Itu pandangan dia perwakilan dalam muktamar. Dia berhak menyuarakan pandangan dia.

“Tak semesti jadi keputusan. Itu pandangan dia la,” kata ahli Parlimen Alor Setawa itu sambil ketawa pada sidang media selepas Muktamar Dewan Pemuda PAS di Temerloh, Pahang, petang tadi.

Pada perbahasan, pagi tadi, Aubidullah Fahim Ibrahim yang juga setiausaha Pemuda PAS Selangor berkata, taktik sedemikian boleh memenangi parti itu bukan saja berpuluh, malah ratusan undi.

“Kami (Pemuda PAS) di Selangor ada cadangan. Tapi Ketua Pemuda PAS tak ada pula.

“Kita nak cadangkan supaya kepimpinan Pemuda ini perlu berkahwin rentas kaum ataupun rentas budaya. Kerana apa?

“Kerana apabila kita berkahwin merentas kaum ataupun budaya ini, kita bukan sekadar boleh menangkap satu undi, tapi insya-Allah kita akan menangkap 10 bahkan ratusan undi daripada bukan Melayu dan bukan Islam,” katanya sambil disambut dengan gelak tawa dan riuh rendah daripada hadirin.

Tambah Aubidullah, perwakilan Pemuda PAS Selangor “mencabar” Afnan dan ahli jawatankuasa pusatnya untuk menyahut cadangan itu.

Diasak wartawan jika ketua pemuda PAS itu akan mempertimbangkan cadangan tersebut, Afnan terus tergelak besar.

“Ini semua soalan perangkap. Isteri saya sedang memerhati online sekarang ni,” katanya lagi.

Terdahulu dalam ucapannya, Aubidullah turut menggesa ahli Pemuda PAS supaya mula berusaha ke arah meraih undi daripada pengundi muda dengan menggunakan pelbagai platform yang popular di kalangan peringkat umur.

Ini termasuk aktiviti e-sukan, yang katanya mempunyai pengikut yang ramai dan Pemuda PAS boleh melibatkan ahli yang biasa dengan aktiviti itu untuk mendekati peminatnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *