December 22, 2024

Rizalman (kanan) bergambar kenangan bersama Jailani (kiri) dan Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah RKM Liverpool, Jantan Lisut

Kuala Lumpur: Pereka fesyen, Datuk Rizalman Ibrahim merasmikan wajah baharu Rumah Komuniti Malaysia (RKM) Liverpool, United Kingdom pada Ahad lalu selepas beberapa bulan proses baik pulih dilakukan. 

Rizalman, 53, sebelum itu menerusi Yayasan Rizalman Ibrahim (Yayasan RI) yang diasaskannya menyalurkan sumbangan RM500,000 kepada entiti yang diberi tanggungjawab menyelia dan membantu kerja baik pulih, Dar Al Qari Resources.

“Sebagai khalifah di bumi Allah SWT, saya melihat ada keperluan untuk saya membantu. Ia bukan untuk diri saya, tetapi lebih kepada memberi sinar dan harapan kepada warga Malaysia di Liverpool berhubung kepentingan RKM.

“Dari itu, saya menyimpan niat dan keazaman untuk memberikan sinar baharu kepada warga Malaysia di Liverpool dengan membaik pulih bangunan itu di bawah payung Yayasan RI,” katanya.

Ketua Pegawai Operasi Dar Al-Qari Resources, Jailani Jantan berkata, RKM Liverpool menjadi tempat kunjungan komuniti Melayu di negara itu bagi memastikan asal usul keturunan mereka tidak dilupakan generasi baharu.

“Apa yang perlu ditekankan mengenai pengisian RKM Liverpool adalah aktiviti keagamaan dan kebudayaan.

“Kita memahami, masyarakat yang akan sentiasa berkunjung ke RKM Liverpool adalah warga Malaysia yang sudah lama bermastautin di sana serta anak-anak dan cucu-cucu mereka.

“Komuniti ini juga tidak mahu generasi baharu lupa akar umbi Melayu termasuk bahasa dan cara hidup. Jadi, harus ada pengisian yang boleh sentiasa mengingatkan mereka akan asal-usul generasi mereka,” katanya.

Terdahulu, Rizalman mengunjungi RKM Liverpool dan hatinya tersentuh melihat premis yang wujud dan dibangunkan kelasi-kelasi kapal berbangsa Melayu sekitar 1970-an itu kelihatan usang sebelum membuat keputusan untuk membantu membaik pulih dan mengindahkan semula.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *