December 22, 2024

Hantaran video terakhir Allahyarham Raja Petra. - FOTO Facebook Malaysia Today

PUTRAJAYA: Amaran Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim akan menarik balik darjah kebesaran, bintang dan pingat Persekutuan daripada penerima yang terbabit jenayah, mencemarkan nama negara atau dihukum oleh mahkamah adalah tindakan wajar dalam menjaga status dan maruah Istana Negara.

Itulah antara isu terakhir dikupas penulis blog, Raja Petra Kamarudin dalam hantaran video menerusi akaun Malaysia Today di Facebook dua hari lalu, dan Allahyarham menyifatkan titah Yang di-Pertuan Agong itu adalah tindakan tegas yang perlu dilaksanakan.

“Pada tahun 1970-an, ada satu ‘joke’ (jenaka) (dalam kalangan penjara) apabila pengarah penjara membuat ucapan (salutasi) di hadapan banduan, dia akan berkata Tun, Tan Sri, Datuk Seri, Datuk, Tuan Haji dan banduan sekalian.

“Sebab ramai orang yang ber Datuk atau Tan Sri apa sekali pun, duduk dalam penjara dihukum kerana jenayah, bukan sahaja Melayu, ada juga Cina dan sebagainya yang dipenjara atas kesalahan rasuah, salah guna kuasa,” katanya.

Sultan Ibrahim pada Istiadat Menghadap dan Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong memberi amaran akan menarik balik darjah kebesaran, bintang dan pingat Persekutuan daripada penerima yang terbabit jenayah, mencemarkan nama negara atau dihukum oleh mahkamah.

Baginda bertitah, setiap penerima yang sudah dipilih seharusnya bersifat jujur dan amanah kepada pemerintah, menjaga tingkah laku dan tidak terbabit dalam kegiatan rasuah serta sebarang kesalahan jenayah.

Mengulas lanjut, pengendali laman web Malaysia Today itu berkata, tindakan menarik balik gelaran yang dikurniakan wajar dilaksanakan kerana mereka yang melakukan jenayah dan menerima hukuman, tidak layak memiliki gelaran terbabit.

“Kalau dipenjara, eloklah gelaran itu ditarik balik sebab awak diberi gelaran atau dianugerah dengan apa sahaja anugerah kerana jasa kepada negara dan bangsa.

“Tetapi apabila awak dah lakukan jenayah yang boleh dikatakan malu bagi status orang bergelar, awak tidak layak untuk terus diberi gelaran itu,” katanya.

Katanya, individu yang ditarik balik darjah kebesaran bukan sahaja mendapat malu akibat dilucutkan gelaran, malah berdepan kritikan dan pandangan umum.

Raja Petra meninggal dunia malam tadi di Manchester, United Kingdom (UK).

Kematiannya pada usia 74 tahun disahkan oleh isterinya, Marina Lee Abdullah berpunca daripada jangkitan dalam darah yang merebak ke paru-paru dan kemudiannya ke hati.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *