September 19, 2024

KLUANG: Bapa calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota, Syed Hussien Syed Abdullah yang ditidurkan selepas dipercayai menghidap kanser meninggal dunia sebentar tadi.

Allahyarham Syed Abdullah Syed Hamid, 67, dilaporkan meninggal dunia selepas menerima rawatan di sebuah hospital di sini.

UMNO Johor mengesahkan pemergian bekas Naib Ketua UMNO Bahagian Kluang itu menerusi hantaran di Facebook rasmi parti berkenaan.

“Innalillahiwainnailaihirajiun, Assalamualaikum. Dukacita dimaklumkan ayahanda kepada saudara Syed Hussien, calon BN bagi PRK DUN Mahkota diberitakan sudah pergi meninggalkan kita.

“Sama-sama kita sedekahkan Al-Fatihan kepada ayahanda beliau, semoga Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang beriman. Salam takziah buat saudara Syed Hussien sekeluarga, semoga tabah dan cekal menghadapi dugaan Allah,” tulisnya.

Sehari selepas diumumkan sebagai calon BN, bapa kepada Syed Hussien ditidurkan dan berita itu dimaklumkan sendiri beliau menerusi Facebook peribadinya.

BN mempertaruhkan Syed Hussein, 40, yang juga Ketua Pemuda UMNO Kluang sebagai calon PRK DUN Mahkota pada 28 September ini.

Ia diumumkan oleh Pengerusi BN Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi pada Majlis Pelancaran Jentera dan Pengenalan Calon BN bagi PRK DUN Mahkota di Command Centre BN di Taman Sri Kluang, Sabtu lalu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *