September 19, 2024

Kota Kinabalu: Tiga kerani di Sekolah Kebangsaan (SK) Likas, di sini, dikejarkan ke hospital selepas mengalami sesak nafas dan muntah disyaki akibat terhidu gas ammonia, hari ini.

Kejadian itu disahkan Pengarah Pendidikan Sabah, Datuk Raisin Saidin, dengan dua daripada kerani terbabit menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth (HQE), manakala seorang lagi di HQE 2.

Bagaimanapun, katanya kejadian pada jam 1.30 tengah hari itu hanya membabitkan tiga kakitangan wanita terbabit dan tiada murid atau guru yang dilaporkan mengalami gejala sama.

“Satu insiden kebocoran gas, disyaki gas ammonia dilaporkan berlaku di pejabat am SK Likas pada kira-kira 1.30 tengah hari.

“Bagaimanapun, tiada murid sekolah itu dilaporkan terjejas, kecuali tiga kerani sekolah yang berada di pejabat am sekolah.

“Ketiga-tiga mereka dikejarkan segera ke hospital selepas mengalami gejala mual, sesak nafas dan muntah. Keadaan mereka dilaporkan stabil,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Katanya, pihak sekolah turut mendapatkan bantuan segera Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah bagi memantau situasi di sekolah berkenaan.

Raisin berkata, hasil pemantauan dan penilaian Hazmat bagaimanapun mendapati bacaan udara di lokasi kejadian adalah normal.

“Penilaian Hazmat juga mendapati tiada sisa radioaktif dan kebocoran bahan kimia. Bagaimanapun, Hazmat mengarahkan supaya bilik (pejabat am) dibiarkan terbuka semalaman.

“Secara keseluruhan, hasil pemeriksaan Hazmat mengesahkan keadaan udara di persekitaran SK Likas dalam keadaan selamat dan terkawal,” katanya.

Kejadian itu, katanya tidak menjejaskan sesi pengajaran dan pembelajaran di sekolah berkenaan.

Bagaimanapun, katanya pihak sekolah sudah diarah untuk memastikan tahap keselamatan murid dan warga sekolah sentiasa terjaga.

Sebelum itu, insiden di sekolah berkenaan viral di media sosial kononnya berlaku kebocoran gas ammonia yang membabitkan ramai mangsa.

Bagaimanapun, dakwaan itu disangkal Jabatan Pendidikan Sabah menerusi laporan awal kejadian yang dikongsikan Raisin.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *