December 3, 2024

Kuala Lumpur: Nama ‘tentera bawang’ mungkin lucu, namun hasilnya, Malaysia menduduki tangga kelima dunia dalam kategori buli siber.

Dapatan itu adalah hasil daripada kajian Institut Kajian Pasaran (IPSOS) yang melihat Malaysia antara negara yang merekodkan insiden buli siber tertinggi.

Bagi Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef) pula merekodkan Malaysia menduduki tangga kedua di Asia bagi kadar buli siber, sekali gus menunjukkan masalah yang semakin serius.

November lalu, kerajaan dalam usaha mengkaji kewajaran mewujudkan Akta Anti Buli Siber dalam menangani gejala yang dilihat semakin membarah.

Terbaharu, pelumba Jepun, Shinji Nakano menerima tempias ‘tentera bawang’ negara ini apabila terbabit dalam satu insiden perlanggaran dengan pelumba daripada Malaysia, Shah Firdaus Sahrom ketika temasya Olimpik di Paris, baru-baru ini.

Akibat insiden itu, ribuan ‘tentera bawang’ yang terdiri daripada pengguna media sosial negara ini membanjiri ruangan komen atlet Jepun itu.

Berdasarkan pemerhatian, lebih 30,000 komen membanjiri platform Instagram milik Nakano dan rata-ratanya adalah pengguna media sosial negara ini yang meluahkan rasa tidak puas hati kepada atlet itu.

Perkara sama berlaku kepada pelumba berbasikal trek Britain, Jack Carlin di Olimpik Tokyo 2020 apabila dikatakan turut menghimpit Shah Firdaus sehingga menyaksikan perlumbaan saringan kedua acara keirin terpaksa dimulakan semula.

Insiden sama turut berlaku beberapa tahun sebelum ini apabila atlet paralimpik negara, Muhammad Ziyad Zolkefli dinafikan pingat emas selepas atlet para lontar peluru Ukraine, Maksym Koval mengemukakan protes.

Akibatnya, ‘tentera bawang’ negara ini menyerang laman sosial Koval sehingga memaksanya menutup akaun sedia ada dan membuka akaun media sosial baharu susulan insiden itu.

Berdasarkan satu laporan berita, Koval mendakwa akaun media sosial miliknya digodam rakyat Malaysia selepas ‘menyerangnya’ dengan menghantar banyak komen spam pada hantaran di akaunnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *