September 17, 2024

ORANG ramai meneruskan aktiviti seperti biasa di Jalan Masjid India. FOTO Rohanis Shukri

Kuala Lumpur: Selepas lebih dua minggu kejadian tanah jerlus berlaku di Jalan Masjid India, di sini, aktiviti di kawasan itu hidup kembali seperti sedia kala.

Tinjauan Harian Metro hari ini mendapati, operasi premis perniagaan dibuka seperti biasa dengan orang ramai termasuk warga asing dan pelancong dilihat memenuhi kawasan itu untuk membeli-belah dan makan di restoran berhampiran.

Malah, segelintir pengunjung dilihat meletakkan bunga di satu sudut di kawasan kejadian sebagai tanda memperingati mangsa yang sehingga kini masih gagal ditemui.

Syah Ismail, 60, dari Ampang, Selangor, berkata, dia datang membeli-belah di Jalan Masjid India berikutan yakin dengan pemerhatian pihak berkuasa mendakwa kawasan itu selamat.

“Saya memang biasa datang sini sebulan sekali terutama pasar malam dan Mydin untuk membeli barangan dapur dan keperluan rumah kerana kawasan sini mudah akses dengan transit aliran ringan (LRT).

“Pihak berkuasa sudah cakap kawasan ini selamat, jadi kita rasa yakin datang sini hari ini tetapi saya elak berjalan dekat dengan kawasan kejadian kerana masih bimbang.

“Sebagai pengunjung setia, saya harap pihak berkuasa adakan pemantauan dan pemeriksaan lebih kerap dan berkala untuk pastikan keselamatan orang ramai terjamin kerana kita tidak mahu kejadian bulan lalu berulang lagi,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Sementara itu, pembantu kedai Pustaka Rezeki Harapan yang terletak kira-kira 50 meter dari kawasan kejadian itu, Rizal Jasni, 64, berkata, biarpun aktiviti diteruskan seperti biasa, namun peniaga tetap terjejas kerana pengunjung berkurangan.

“Selepas kejadian itu, keadaan di sini lengang tiada pengunjung datang kerana takut dengan kawasan jerlus.

“Mungkin ada berita-berita tidak betul disebarkan mengatakan Kuala Lumpur tidak selamat lagi.

“Kita harap pihak berkuasa kemas kini maklumat mengatakan kawasan sini selamat, tidak sama dengan berita disebarkan kerana peniaga di sini semakin terjejas,” katanya.

Pada 23 Ogos lalu, wanita dikenali sebagai G Vijaya Lakshmi berasal dari Kuppam, Andhra Pradesh, India hilang selepas terjatuh ke lubang sedalam lapan meter di Jalan Masjid India.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) wanita berkenaan dihentikan pada 31 Ogos lalu selepas mengambil kira faktor keselamatan pasukan operasi SAR.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *