September 17, 2024

Kuala Lumpur: Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa berhubung isu terkait syarikat Global Ikhwan Sdn Bhd (GISB).

Menterinya Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, ia bagi membantu siasatan yang dijalankan oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pihak berkuasa agama negeri.

Beliau berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dalam isu berkaitan akidah umat Islam yang menjadi perkara asas untuk dipelihara setiap masa.

“Apa-apa kegiatan yang diragui dan boleh memesongkan akidah umat Islam, masyarakat yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan untuk membuat laporan kepada PDRM, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta Jabatan Agama Islam Negeri.

“Ini penting sebagai asas dan maklumat sokongan kepada pihak berkuasa membuat siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Cawangan Khas (SB) Bukit Aman dilaporkan sedang memantau GISB susulan empat laporan polis yang diterima berkaitan eksploitasi kanak-kanak.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay dilaporkan berkata, pihaknya kini menjalankan pemantauan terhadap organisasi itu susulan laporan polis dilakukan di Selangor mengikut Seksyen 32 (a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Beliau dipetik berkata, laporan berkenaan dipercayai berkaitan eksploitasi kanak-kanak untuk memungut dana, derma dan sebagainya.

Malah, katanya, pemantauan turut dilakukan SB berdasarkan senarai ajaran sesat termasuk GISB. 

Mengulas lanjut, Dr Mohd Na’im berkata, Jakim sudah diarah mengadakan pertemuan dengan pihak GISB untuk mendapatkan maklum balas serta penjelasan.

Selain itu, katanya, pihak Jakim bersama Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) dan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan turut diminta memperhebatkan usaha penerangan mengenai kepentingan menjaga akidah kepada umat Islam.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *