December 23, 2024

Md Jais (kanan) memperkenalkan Zainani (kiri) dan Syed Hussien (tengah) sebagai calon senarai pendek BN untuk PRK DUN Mahkota Kluang, ketika pelancaran Jentera AMANAH malam tadi. - Foto ihsan AMANAH

JOHOR BAHRU: Dua calon yang disenarai pendek Barisan Nasional (BN) untuk menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota diperkenalkan dalam majlis pelancaran jentera AMANAH di Kluang, malam tadi.

Naib Pengerusi DAP Johor, Sheikh Umar Bagharib Ali, berkata calon itu membabitkan Naib Ketua Wanita UMNO Bahagian Kluang, Zainani Jamaluddin dan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kluang, Syed Hussien Syed Abdullah.

Sheikh Umar yang juga Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP, berkata kedua-dua calon itu diperkenalkan Ketua Bahagian UMNO Kluang, Datuk Md Jais Sarday, dalam majlis pelancaran jentera AMANAH itu malam tadi.

“Malam tadi, satu majlis pelancaran jentera AMANAH membabitkan PRK DUN Mahkota telah dianjur di Lamanara Taman Idaman, Kluang dan disempurnakan Presiden AMANAH Datuk Seri Mohamad Sabu.

“Dalam majlis itu, wakil-wakil pimpinan Pakatan Harapan (PH) Johor hadir memberikan sokongan kepada BN Johor.

“Pada masa yang sama, pimpinan UMNO Bahagian Kluang iaitu Ketua Bahagiannya, Datuk Md Jais Sarday mengetuai rombongan yang turut disertai Zainani dan Syed Hussien selain penyokong mereka.

“Ketika ucapan Md Jais, telah memanggil Zainani dan Syed Hussien ke atas pentas selaku individu yang disenarai pendek oleh UMNO Bahagian Kluang untuk dipilih oleh pimpinan Pusat sebagai calon PRK DUN Mahkota,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota pada 28 September ini.

Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun, berkata tarikh penamaan calon dan pengundian awal pula masing-masing ditetapkan pada 14 dan 24 September ini.

BN dijangka akan mengumumkan calonnya bagi PRK DUN Mahkota di Command Centre BN Kluang, kira-kira jam 4 petang esok yang akan turut dihadiri Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Dalam pada itu, Sheikh Umar mengulangi komitmen PH Johor untuk berkempen sekali gus memenangkan siapa juga calon dari BN yang akan diputuskan nanti. 

Katanya, dalam satu mesyuarat CEC DAP minggu lalu, arahan jelas telah diberikan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke supaya DAP menggerakkan seluruh kekuatan jentera parti di Kluang.

“DAP telah menyusun gerak kerja awal sejak lebih seminggu lalu khususnya dalam memperkemas organisasi jentera, mengenalpasti data dan angka, mewujudkan libat urus dengan pelbagai entiti dan komuniti, serta mempersiapkan asas logistik.

“Bagaimanapun, kami mengakui terdapat banyak faktor perlu diteliti untuk memenangi DUN Mahkota ini. Antaranya, peratusan jumlah keluar mengundi sentiasa menjadi cabaran setiap kali berhadapan PRK. Justeru, strategi untuk membawa pulang pengundi luar akan diberikan tumpuan khusus.

“Kami amat yakin, jalinan kerjasama yang utuh antara PH dan BN akan menjadi formula kemenangan untuk calon UMNO DUN Mahkota,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *