September 19, 2024

KUALA SELANGOR: Mahkamah Rendah Syariah Kuala Selangor, di sini, hari ini mengesahkan wujudnya lafaz cerai taklik dilafaz oleh pengarah kontroversi, Syamsul Yusof terhadap isterinya, Ira Kazar ketika masih bergelar suami isteri.

Lafaz cerai taklik ialah lafaz cerai dilafaz oleh suami dengan meletakkan syarat taklik dan jika isteri melanggar syarat tertentu, maka boleh menyebabkan jatuh talak.

Hakim Syarie, Mohd Faizal Habib mengesahkan perkara itu selepas Ira atau nama sebenarnya, Faghirah Fatini Kazaruddin selaku plaintif memfailkan lafaz cerai taklik pada 21 Ogos lalu.

Peguam syarie mewakili Ira, Mohammad Fadhil Abdul Razak berkata mahkamah mengesahkan berlakunya lafaz taklik, sekali gus jatuh talak satu.

“Mahkamah sudah putuskan perceraian sudah berlaku di luar mahkamah di antara Syamsul dan Ira. Itu sahaja yang berlaku hari ini.

“Keterangan sudah diambil dan keputusan sudah dibuat hari ini. Terima kasih kepada mahkamah.

“Jadi, hari ini sudah jatuh talak satu pada kira-kira jam 10.30 pagi tadi dan kes di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur tidak diteruskan” katanya.

Sementara itu, peguam syarie mewakili Syamsul, Azmi Mohd Rais berkata, Ira melanggar taklik sebanyak lima kali sejak 14 Ogos lalu.

“Alhamdulillah kes perceraian dan lafaz taklik sudah selesai hari ini di mana mahkamah mendapati Ira melanggar taklik. 

“Ada pelanggaran taklik dilakukan Ira dan mahkamah mendapati Ira melanggar taklik sebanyak lima kali. Kali pertama pada 14 Ogos lalu.

“Ia berlaku dalam keadaan rela tanpa paksaan mana-mana pihak. Tempoh edah juga bermula pada tarikh sama iaitu 14 Ogos,” katanya. 

Pada 16 Ogos lalu, Syamsul atau nama sebenarnya, Mohd Syamsul Mohd Yusof, 40, mengejutkan ramai apabila memfailkan perceraian terhadap isterinya, Ira di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, Selangor.

Terdahulu, Syamsul dan Ira mendirikan rumah tangga pada 6 Januari tahun lalu di Selatan Thailand.

Susulan itu, pelakon Puteri Sarah Liyana pada ketika itu sebagai isteri Syamsul nekad memfailkan perceraian, sebelum berpisah secara rasmi pada 14 Jun tahun lalu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *