December 3, 2024

Syed Hussien Abdullah (tengah), Datuk Norshida Ibrahim (kanan) dan Zainani Jamaluddin.

KUALA LUMPUR: Dua pemimpin sayap UMNO kini dalam tapisan akhir pucuk pimpinan Barisan Nasional (BN) untuk dinamakan sebagai calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota, Johor akhir bulan ini.

Calon berkenaan masing-masing adalah mewakili Pergerakan Wanita dan Pemuda. 

Sumber BN yang dihubungi memaklumkan, sekurang-kurangnya lima nama calon dikemukakan sayap serta pemimpin dari akar umbi termasuk UMNO Bahagian Kluang sebelum ini.

Dan selepas penelitian dan pertimbangan rapi, dua daripadanya disenarai pendek untuk dimuktamadkan. Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dijangka mengumumkan nama calon terpilih berkenaan.

“Sebab ada permintaan dari sayap-sayap untuk wakil mereka dinamakan untuk PRK DUN Mahkota. 

“Jadi, pendekatan BN di PRK DUN Mahkota akhir bulan ini kelihatannya sama dengan di PRK DUN Nenggiri iaitu penampilan calon muka baru dari sayap parti,” katanya ketika dihubungi BH.

PRK DUN Mahkota diadakan selepas penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, Kluang pada 2 Ogos lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya kemudian menetapkan hari pengundian PRK itu pada 28 September ini, manakala penamaan dan pengundian awal masing-masing pada 14 dan 24 September.

Mengulas lanjut, sumber berkenaan memaklumkan majlis pengumuman calon BN itu akan dibuat minggu depan iaitu selepas Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri pulang dari lawatan kerja ke China.

Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO dijadual memulakan lawatan kerja ke China bermula Ahad ini dan kembali ke tanah air Khamis depan. 

Sebelum ini, Pemuda mengusulkan Ketua Pemuda UMNO Kluang, Syed Hussien Syed Abdullah sebagai calon manakala Wanita pula mempertaruh Ketua Wanita UMNO Bahagian Segamat, Datuk Norshida Ibrahim dan Naib Ketua Wanita UMNO Bahagian Kluang, Zainani Jamaluddin.

Untuk rekod pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13, DUN Mahkota dimenangi calon BN, sebelum kerusi itu dirampas Pakatan Harapan (PH) pada PRU ke-14. 

Namun pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 2022, kerusi itu kembali ke pangkuan BN, yang menang dengan majoriti 5,166 undi mengalahkan dua lagi calon dari PH dan Perikatan Nasional (PN).

Simulasi keputusan PRU ke-15 lalu khususnya yang membabitkan pola undian di DUN berkenaan bagaimanapun menunjukkan penguasaan semula PH selepas mereka memperoleh majoriti 4,686 undi atau 19,520 undi berbanding undi kepada BN (14,834) dan PN (14,794)

Keputusan PRU lalu itu dilihat antara sebab wujudnya gesaan di peringkat akar umbi PH khususnya Parti Amanah Negara (AMANAH) sebelum ini, yang menuntut wakil PH dicalonkan dalam PRK berkenaan.

Namun gabungan turut disertai PKR, DAP itu sudah memutuskan laluan diberi kepada BN dalam PRK kali ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *