December 22, 2024

Sebuah bas yang membawa tujuh penumpang dan pemandu musnah dalam kebakaran di Jalan Kuala Ketil. FOTO IHSAN BOMBA

Sungai Petani: Pemandu dan tujuh penumpang sebuah bas henti-henti terselamat selepas kenderaan yang dinaiki mereka terbakar di Jalan Kuala Ketil, di sini hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Petani, Timbalan Penguasa Bomba I Ismail Mohd Zain berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 4.36 petang.

Beliau berkata, sepasukan anggota dari BBP Sungai Petani yang diketuai PBK II Yazid Ismail tiba di lokasi bersama 10 anggota.

“Setibanya di lokasi, didapati kebakaran itu membabitkan bas dari Baling menuju ke Sungai Petani yang membawa tujuh penumpang dan seorang pemandu.

“Kesemua mereka terselamat selepas berjaya menyelamatkan diri dan tiada kecederaan dilaporkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ismail berkata, anggaran kemusnahan lebih 60 peratus dan tidak membabitkan mangsa.

Beliau berkata, bantuan dari Pasukan Bomba Sukarela (PBS) yang tiba di lokasi kejadian sebelum kehadiran Bomba.

“Api berjaya dikawal pada jam 4.57 petang dan dipadam sepenuhnya sejurus selepas itu.

“Setakat ini punca dan kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *