September 19, 2024

Kuala Lumpur: Penjenayah yang terbunuh selepas berbalas tembakan dengan polis di Jalan Bandar Bukit Beruntung, di sini, semalam, aktif dalam jenayah sejak lima tahun lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, suspek aktif dalam kes samun, samun dengan senjata api, curi dan dadah. 

“Siasatan polis mendapati suspek aktif dengan kegiatan jenayah di Kedah sejak lima tahun lalu. 

“Kes dalam siasatan dan usaha mengesan rangkaian suspek giat dilakukan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Hussein berkata, kejadian berbalas tembakan berlaku pada jam 9.33 malam apabila suspek enggan berhenti dan melepaskan tembakan ke arah anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.

Katanya, pihak polis kemudian membalas beberapa tembakan dan suspek disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Suspek adalah lelaki tempatan berusia 36 tahun dan mempunyai 16 rekod kes jenayah dan dadah,” katanya.

Beliau berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 8 Akta Senjata 1960.

Katanya, orang awam yang mempunyai sebarang maklumat lain berhubung kejadian ini diminta tampil ke balai polis atau berhubung Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Selangor.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *