December 22, 2024

Puteri Sarah ketika hadiri di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini, bagi penyelesaikan kes saman terhadap Wiwi. Foto NSTP Hairul Anuar Rahim

KUALA LUMPUR: Puteri Sarah Liyana bersyukur kes tuntutan saman terhadap bekas kakak ipar Ira Kazar, iaitu Wiwi Darvinda Mazwena Mazlan diselesaikan dengan cara baik, hari ini.

Puteri Sarah atau nama penuh, Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin mengaku lega disebabkan dia ada satu lagi kes tuntutan saman di mahkamah.

“Alhamdulillah, sudah selesai suatu beban dan seperti yang kalian sedia maklum, saya ada satu lagi kes di mahkamah.”

“Apa yang penting adalah kita hendak selesaikan kes ini sama ada dengan cara baik atau hendak teruskan.

“Tetapi, apa yang penting, kes ini sudah selesai,” katanya ditemui di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Ditanya apakah Wiwi menghubunginya secara peribadi untuk membincangkan soal kes saman itu, bekas isteri pengarah sensasi, Syamsul Yusof itu memberitahu, semua komunikasi membabitkan isu mahkamah perlu melalui peguam masing-masing.

“Dia tidak berhubung dengan saya secara peribadi untuk menyatakan permohonan maaf. Kami berhubung melalui peguam sahaja,” katanya.

Kes tuntutan saman Puteri Sarah ke atas Wiwi berakhir apabila kedua-dua pihak bersetuju menyelesaikannya secara baik. Prosiding bagi penyelesaian kes saman itu dilakukan di hadapan Hakim Yasmin Abdul Razak.

Pada prosiding itu, Wiwi mengakui kesal dengan perbuatan memuat naik hantaran berbaur tohmahan dan membuat permohonan maaf secara terbuka kepada Puteri Sarah.

Selain itu, Wiwi perlu melakukan permohonan maaf secara terbuka tanpa syarat untuk tatapan umum selama tujuh hari di Instagram (IG) bermula hari ini serta membayar ganti rugi RM5,000 merangkumi keseluruhan kos guaman.

Puteri Sarah memfailkan tuntutan saman fitnah terhadap Wiwi menerusi peguamnya Datuk Akberdin Abdul Kadir pada 30 Ogos, tahun lalu.

Tuntutan itu dibuat selepas Wiwi membuat kenyataan tidak wajar membabitkan dirinya di IG pada 24 Ogos tahun sama.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *