December 22, 2024

Pendakwah selebriti, Da’i Syed dijatuhi hukuman penjara 10 tahun dan tiga sebatan oleh Mahkamah Sesyen, Shah Alam hari ini kerana merogol seorang wanita di sebuah kondominium, lima tahun lalu. - Foto NSTP/Faiz Anuar

SHAH ALAM: Tindakan pendakwah selebriti, Da’i Syed merogol mangsa disifatkan suatu yang tidak dapat diterima akal secara munasabah kerana mempergunakan mangsa yang lemah. 

Hakim Mahkamah Sesyen, Norazlin Othman, berkata demikian sebelum menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan tiga sebatan ke atas Syed atau nama sebenarnya Syed Shah Iqmal Syed Mohd Shaiful, 29, atas tuduhan merogol seorang wanita berusia 23 tahun, lima tahun lalu. 

Norazlin dalam penghakimannya berkata, tertuduh dalam masyarakat sebagai seorang pendakwah selebriti yang memberi impak besar kepada orang awam terutama masyarakat Islam di negara ini, anak-anak muda dan penuntut universiti.

“Mahkamah mengambil kira peranan yang sering dimainkan oleh tertuduh dalam memberikan ceramah agama dan motivasi.

“Mahkamah juga mempertimbangkan kesan trauma kepada mangsa kerana membabitkan wanita dan kehormatan. 

“Pastinya mangsa mengalami trauma kerana perlu kumpulkan kekuatan untuk tampil membuat laporan dan melalui setiap proses perundangan yang panjang dan bukan mudah, kejadian ini akan terus berada dalam ingatan mangsa hingga akhir hayat,” katanya.

Norazlin berkata, mahkamah mendapati tertuduh gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan itu.

“Pembelaan tertuduh bersifat penafian dan tidak cukup mematahkan kes pendakwaan bahawa kejadian rogol sememangnya berlaku. 

“Pihak pendakwaan membuktikan bahawa tertuduh adalah orang yang mula-mula mengajak mangsa keluar dan membawa pergi ke rumahnya. 

“Selain itu, mangsa yang lemah dan lurus bendul dibuktikan tidak boleh membuat keputusan serta melawan tertuduh ketika kejadian,” katanya. 

Mahkamah ambil kira peranan tertuduh sebagai pakar motivasi

Menurutnya, mahkamah turut mengambil kira faktor peranan tertuduh sebagai penceramah dan pakar motivasi yang memberi impak besar kepada masyarakat terutama golongan muda. 

“Kes ini membabitkan mangsa yang masih muda dan kesan trauma itu akan terus berada dalam ingatannya sehingga akhir hayat.

“Justeru, hukuman penjara 10 tahun dan tiga sebatan bukan saja pengajaran kepada tertuduh malah bagi orang awam lain secara keseluruhannya,” katanya. 

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin memohon hukuman berat dengan mengambil kira faktor kepentingan awam dan kekerapan kes rogol yang semakin berleluasa. 

“Kredibiliti tertuduh yang mempunyai latar belakang agama dipandang tinggi namun dia menggunakan kedudukan itu untuk mengambil kesempatan ke atas mangsa. 

“Saya memohon hukuman penjara tertuduh sekurang-kurangnya selama 12 tahun,” katanya. 

Bagaimanapun, peguam Syed Amirul Syed Edros yang mewakili tertuduh memohon pelaksanaan penangguhan hukuman kerana anak guamnya itu sudah berkahwin dan baru saja menimang cahaya mata baru berusia 16 hari. 

“Ini kesalahan pertama tertuduh, justeru saya memohon penangguhan hukuman dan akan memfailkan rayuan. Jika tertuduh berada dalam penjara, ia menimbulkan kesan signifikan,” katanya. 

Hakim tolak tangguh hukuman

Norazlin bagaimanapun menolak permohonan penangguhan itu kerana tiada keadaan khas untuk mempertimbangkan perkara berkenaan dan hukuman penjara berkuat kuasa mulai hari ini. 

Berdasarkan pertuduhan, Syed Shah Iqmal didakwa merogol wanita berusia 23 tahun (ketika itu) dalam bilik sebuah kondominium di i-City, Seksyen 7 di sini, kira-kira jam 1.35 pagi, 11 September 2019. 

Dia didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan. 

Pada 10 April tahun lalu, Mahkamah Sesyen di sini, melepas dan membebaskan daripada pertuduhan itu selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadapnya di akhir kes pendakwaan. 

Namun, Mahkamah Tinggi di sini, pada 7 Mac lalu memerintahkan dia membela diri selepas membenarkan rayuan pihak pendakwaan. 

Seramai 18 saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan pada perbicaraan yang dijalankan bermula April 2022 dan Syed Shah Iqmal sebagai satu-satunya saksi pembelaan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *