December 22, 2024
kakak Sudirman

KUALA LUMPUR: Kakak Allahyarham Datuk Sudirman Arshad, iaitu Datin Rodziah Arshad, 82, menghembuskan nafas terakhir akibat kanser paru-paru di sebuah pusat perubatan di Petaling Jaya pada jam 12.08 tengah hari tadi. 

Anaknya, Razman Azrai Zainudin atau lebih mesra disapa Atai memberitahu, arwah ibu pergi dalam keadaan tenang.

“Saya dan semua ahli keluarga sempat menghadap arwah. Perjalanan terakhirnya dipermudahkan dan beliau pergi dalam keadaan tenang.

“Saya sedih kerana teringat arwah pernah menjaga Cokman (Sudirman) Kini, kedua-duanya sudah tiada.

“Arwah tidak ada tinggalkan pesanan terakhir. Cuma, arwah selalu suruh saya jaga diri baik-baik,” katanya kepada BH Online.

Allahyarham Rodziah meninggalkan suami, tiga anak dan tujuh cucu.

Atai berkata, jenazah akan dibawa ke kampung di Temerloh, Pahang untuk dikebumikan.

“Selepas solat Jumaat, jenazah akan dibawa ke Masjid Saidina Abu Bakar As-Siddiq untuk urusan mandi, kafan dan solat.

“Jenazah kemudian dibawa ke Temerloh untuk dikebumikan,” katanya.

Atai turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak termasuk rakan artis yang sudi menziarah arwah ibu dan menghulur sumbangan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *