September 19, 2024

Pendakwah selebriti, Da’i Syed atau nama sebenarnya Syed Shah Iqmal Syed Mohammad Shaiful. - Gambar fail

SHAH ALAM: Pendakwah selebriti, Da’i Syed dijatuhi hukuman penjara 10 tahun dan tiga sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana merogol seorang wanita di sebuah kondominium, lima tahun lalu. 

Hakim Norazlin Othman memutuskan demikian selepas mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie di akhir kes pembelaan.

Hukuman penjara itu berkuat kuasa hari ini.

Sebaik mendengar keputusan itu, bapa anak satu itu dilihat menangis teresak-esak dalam kandang tertuduh.

Tertuduh kemudian memeluk isterinya, Hana Ismail, 38, yang turut hadir ke mahkamah meskipun baru melahirkan anak 16 hari lalu.

Pada 10 April 2023, Hakim Rihaida Rafie melepas dan membebaskan pendakwah itu atau nama sebenarnya Syed Shah Iqmal Syed Mohd Shaiful, 29, daripada tuduhan berkenaan tanpa memanggilnya membela diri.

Pada 10 Disember 2020, Syed Shah Iqmal mengaku tidak bersalah atas pertuduhan merogol mangsa yang ketika kejadian berusia 23 tahun dalam bilik di sebuah kondominium di I-City di Seksyen 7 di sini, pada jam 1.35 malam pada 11 September 2019.

Dia didakwa mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.

Seramai 18 saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan pada perbicaraan bermula April 2022.

Pada 31 Mei 2022, Mahkamah Sesyen Petaling Jaya turut melepas dan membebaskan Syed Shah Iqmal daripada dua pertuduhan melakukan persetubuhan di luar tabii dan mencabul seorang penuntut sebuah kolej swasta.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *