December 22, 2024

Sulizmie Affendy (kiri) bersama Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), Datuk Nor Hisham Mohammad pada sidang media hari ini. FOTO Bernama.

Kuala Lumpur: Orang ramai terus diingatkan supaya menjauhi lokasi kejadian tanah jerlus yang sedang berlangsung operasi mencari dan menyelamat (Op SAR) seorang wanita warga India, Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, larangan itu susulan kerja-kerja penyelamatan serta baik pulih di dua lokasi tanah jerlus dan mendapan yang sedang dijalankan ketika ini.

“Disebabkan itu, laluan sepanjang Jalan Masjid India bermula dari lokasi kejadian hingga ke Semua House ditutup. 

“Bagaimanapun, apa yang kita lihat ketika ini adalah masih ramai yang tidak patuh arahan ini,” katanya pada sidang media di lokasi kejadian, hari ini.

Beliau berkata, penutupan laluan itu adalah bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini berlaku.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak memasuki laluan yang diletakkan pita keselamatan.

“Patuhi nasihat anggota polis, jangan sewenangnya melalui kawasan yang tidak dibenarkan.

“Elakkan mendekati lokasi berkenaan terutamanya lokasi yang mana pasukan penyelamat sedang menjalankan Op SAR,” katanya.

Kejadian tanah jerlus pada Jumaat lalu menyebabkan seorang wanita dikenali sebagai Vijayaletchumy, 48, dari Kuppam, Andhra Pradesh, India. 

Beliau dilaporkan hilang selepas terjatuh ke lubang sedalam lapan meter di lokasi itu dengan operasi mencari dan menyelamat (SAR) memasuki hari ketujuh, hari ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *