December 22, 2024

Tangkap layar video tular kejadian runtuhan tembok konkrit yang dipercayai berlaku di luar negara dan bukan di Kota Kinabalu.- Foto media sosial

KOTA KINABALU: Polis menafikan berlaku runtuhan tembok konkrit berhampiran sebuah pusat beli belah di sini, seperti dipaparkan dalam sebuah video yang tular.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, video berdurasi satu minit 18 saat itu tular di media sosial sejak petang tadi, namun ia disahkan bukan berlaku di sini.

Sebaliknya, beliau berkata kejadian itu dipercayai berlaku di luar negara tetapi ditularkan pihak tertentu kononnya ia berlaku di belakang sebuah pusat beli-belah, di sini.

“Tiada sebarang kejadian runtuhan tanah dilaporkan setakat ini.

“Kita terkesan dengan video tular itu dan hasil pemeriksaan tiada sebarang laporan ataupun kejadian runtuhan tembok konkrit seperti yang tular di media sosial,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sehubungan itu, Kasim meminta orang ramai supaya tidak membuat sebarang andaian atau menularkan sebarang perkara yang tidak betul atau berita palsu.

Katanya, perbuatan itu boleh mengundang pelbagai spekulasi dan mencetuskan suasana panik dalam kalangan masyarakat.

Terdahulu, tular sebuah video di media sosial berdurasi satu minit 18 saat memaparkan runtuhan tembok konkrit hingga menghempap beberapa kenderaan yang diparkir di kawasan berkenaan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *