September 19, 2024

Muhammad Jailani Khamis tidak mahu menuruti permintaan Ketua Umno Melaka Ab Rauf Yusoh supaya mengemukakan bukti menyertai PAS sejak 2023.

PETALING JAYA: Adun Rembia Muhammad Jailani Khamis berkata tiada keperluan menghantar surat tunjuk sebab kepada Umno selepas menyertai PAS, menjawab gesaan Ketua Menteri Melaka Ab Rauf Yusoh supaya berbuat demikian.

Katanya, perkara itu sudah dijelaskan menerusi pengumuman Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan di Parlimen pada 16 Julai lalu.

Tiada perlu surat tunjuk sebab atau sebagainya. Sebabnya satu saja, presiden Umno (Zahid Hamidi) dan ketua Umno Melaka (Rauf) telah memungkiri janji PRN Melaka sebelum ini,
katanya menurut Berita Harian.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut sama ada akan menghantar surat rasmi kepada speaker DUN Melaka.


“Ini hanya respons (jawapan) saya pada kenyataan media beliau (Rauf). Sama ada saya hantar atau tidak, nanti saya maklum…bukan mereka, katanya.

Khamis lalu, Rauf menggesa Jailani mengemukakan bukti beliau menyertai PAS sejak 2023 sebelum persidangan DUN November ini.

Katanya, Jailani perlu memberikan butir terperinci tentang kedudukan dirinya dalam PAS sebelum sebarang keputusan dibuat terhadapnya dan pihaknya juga sudah menghantar surat kepada PAS untuk mendapatkan pengesahan mengenai keahlian Jailani.

Pada 19 Julai, Rauf berkata kedudukan Jailani sebagai penyandang di kawasan itu serta status kekosongan kerusi DUN berkenaan akan ditentukan Speaker Ibrahim Durum.

Terdahulu, Takiyuddin dalam sidang media di Parlimen mengesahkan Jailani yang sebelum ini digantung keahlian dalam Umno diterima menjadi ahli PAS pada 10 Jun 2023.

Takiyuddin mendakwa, tindakan Jailani tidak dianggap sebagai lompat parti memandangkan Rang Undang-undang Perlembagaan Negeri Melaka (Pindaan) 2023 berkaitan lompat parti diluluskan pada 31 Julai 2023 selepas Adun Rembia itu menyertai PAS.

Berdasarkan surat Lembaga Disiplin Umno bertarikh 28 Ogos tahun lalu, Jailani digantung enam tahun kerana didakwa melakukan sabotaj terhadap parti apabila hadir ke majlis pengumuman calon Perikatan Nasional bagi PRK DUN Simpang Jeram di Bakri, Johor.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *