September 19, 2024

KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr Jeffrey Kitingan menyifatkan tarikh 31 Ogos 1963 sebagai sejarah Sabah yang tercicir.

Katanya, tarikh itu yang menandakan pembebasan atau kemerdekaan Sabah daripada penjajahan British tidak pernah diraikan secara rasmi selama 60 tahun.

Tarikh berkenaan sebelum itu diwartakan sebagai Hari Sabah pada 5 Jun lalu dan bakal disambut secara rasmi mulai 31 Ogos ini serentak dengan sambutan Hari Kebangsaan.

Jeffrey berkata berdasarkan rekod sejarah, 31 Ogos 1963 ditetapkan sebagai Hari Kemerdekaan Sabah yang sepatutnya berlaku serentak dengan pengisytiharan Malaysia namun pembentukan negara baharu itu hanya direalisasikan pada 16 September 1963.

Katanya, tarikh 31 Ogos itu diputuskan oleh Majlis Undangan Borneo Utara pada 8 Ogos 1963 sebagai tarikh kemerdekaan Sabah yang tetap dijadikan kenyataan walaupun Malaysia tidak dapat dibentuk pada tarikh sama.

“Pada 8 Ogos 1963, Majlis Undangan Borneo Utara melalui pemimpin yang dipilih membuat keputusan sebulat suara untuk mengumumkan kemerdekaan Sabah pada 31 Ogos 1963 sama ada Malaysia menjadi kenyataan atau tidak pada tarikh itu tapi Malaysia hanya ditubuhkan pada 16 September 1963.

“Keputusan memerdekakan Sabah pada 31 Ogos direstui oleh British, yang mana secara bertulis mereka bersetuju melepaskan Sabah sebagai tanah jajahan dan merestui tuntutan Sabah berkerajaan sendiri pada 31 Ogos 1963.

“Sejarah yang tercicir ini amat penting sebab di sinilah (asasnya) apabila kita menuntut hak sama taraf dengan Sarawak dan Malaya (Semenanjung) yang kini sudahpun menjadi kenyataan,” katanya pada sidang media sambutan Hari Sabah 2024, di sini, hari ini.

Jeffrey yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Sabah 2024 berkata sejarah Hari Sabah tercicir berikutan pelbagai cabaran yang menghalang penubuhan Malaysia pada tarikh awal 31 Ogos 1963.

Katanya, ketika itu, hasrat pemimpin Sabah adalah memastikan negeri itu merdeka terlebih dahulu sebelum memikirkan penubuhan Malaysia.

“Hasrat ini timbul disebabkan kita tidak mahu dijajah semula selepas bebas daripada penjajah. Bagaimanapun semasa penubuhan Malaysia, banyak proses perlu dilalui dan banyak juga tentangan termasuk dari negara luar.

“Mereka juga ada hak terhadap Sabah dan kalau Malaysia ditubuh, mereka ingin supaya Sabah yang membuat keputusan dan mereka minta supaya ada intervensi daripada Pertububan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“Ini memanjangkan proses penubuhan Malaysia hingga 16 September 1963. Bagaimanapun, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) sudah ditandatangani pada 9 Julai 1963, ketika Sabah masih di bawah koloni British dan kemerdekaan Sabah tetap berlaku pada 31 Ogos 1963,” katanya.

Berikutan pewartaan Hari Sabah oleh kerajaan negeri pada 5 Jun lalu, Jeffrey berkata sejarah yang berkaitan dengan kemerdekaan Sabah pada 31 Ogos 1963 perlu dimasukkan dalam pembelajaran sejarah di sekolah.

Beliau yang juga Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) berkata, kerajaan negeri akan mengusulkan perkara berkenaan kepada Kementerian Pendidikan bagi memastikan fakta kemerdekaan Sabah diketahui generasi muda.

Mengenai sambutan rasmi Hari Sabah yang julung kali tahun ini di Padang Merdeka, di sini, bermula jam 6 petang, 31 Ogos, Jeffrey berkata pelbagai acara termasuk pameran berkaitan sejarah Hari Sabah turut diadakan.

Katanya, Hari Sabah penting untuk menyedarkan rakyat mengenai sejarah sebenar negeri ini supaya lebih menjiwai semangat dan hak sebagai rakyat Sabah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *