September 19, 2024

Jumlah pengundi yang ramai, komposisi kaum serta media sosial adalah tiga cabaran utama yang perlu ditangani jentera BN dalam mempertahankan kerusi DUN Mahkota pada PRK bulan depan.

Timbalan Pengerusi Umno Johor Ahmad Maslan berkata jumlah pengundi seramai 66,000 dengan 29 pusat daerah mengundi menuntut kerja keras daripada mereka untuk bertemu seramai mungkin pengundi sepanjang tempoh kempen.

“Berbeza dengan DUN Nenggiri yang 99 peratus pengundinya Melayu, tapi di Mahkota pecahan antara kaum itu berbeza.

“Di Mahkota pengundi Melayu lebih kurang 54 peratus, Cina 35 peratus dan India lebih kurang lapan peratus.

“Ini membawa kepada cabaran kedua iaitu pecahan kaum yang bermakna jentera perlu berhadapan dengan pola pemikiran berbeza mengikut kaum,” katanya kepada Bernama.

Selain itu Ahmad yang juga Timbalan Pengarah PRK DUN Mahkota berkata cabaran terbesar yang boleh menggugat peluang calon BN ialah capaian kepada media sosial.

“(Di DUN Mahkota) Kami tiada cabaran prasarana, pembangunan semua sudah lengkap di situ.

“Cabaran (yang dihadapi ialah) media sosial kerana kawasan itu lengkap dengan segala fasiliti yang memungkinkan media sosial mudah menembusi. Ini memang terbuka dengan kecaman dan serangan media sosial,” katanya.

Justeru Ahmad berharap jentera parti yang bakal digerakkan nanti akan lebih aktif menangani isu tempatan dan nasional dengan berkesan di media sosial dalam usaha meraih sokongan pengundi.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Mahkota ialah pada 28 Sept manakala tarikh penamaan calon dan pengundian awal masing-masing ditetapkan pada 14 dan 24 Sept.

PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya Sharifah Azizah Syed Zain, 63, yang meninggal dunia pada 2 Ogos ketika dirawat di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, Kluang.

Pada Pilihan Raya Negeri Johor 2022, Sharifah Azizah yang juga Ketua Wanita Umno Kluang menang dengan majoriti 5,166 undi menewaskan calon PH Muhammad Taqiuddin Cheman, Mohamad Nor Lingan (PN) dan Mohamed Noor Suleiman (Warisan).

– Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *