December 22, 2024

Johor Bahru: Seorang pemandu e-hailing mengalami trauma dan kehilangan pendapatan susulan difitnah melakukan cubaan menculik penumpangnya dalam kejadian pada 11 Ogos lalu.

Lelaki berusia 54 tahun yang hanya mahu dikenali sebagai Wong itu menyatakan meskipun polis telah mengesahkan kes berkenaan tiada unsur jenayah culik, namun sehingga kini beliau masih menerima panggilan telefon berbaur ugutan selain gambar wajah dan keretanya ditularkan sehingga kini.

“Selain wajah dan kereta, keberadaan saya turut dikongsikan di media sosial. Saya rasa tidak selamat. Saya turut menerima panggilan kononnya ahli keluarga penumpang itu. Mereka mahu berjumpa dan jika saya tidak akur, saya akan diapa-apakan.

“Saya diperlakukan seperti orang bersalah. Dua laporan polis telah dibuat pada 11 Ogos dan 15 Ogos untuk melindungi diri. Tidak pernah terdetik untuk menculik. Saya berharap masyarakat hentikan fitnah dan pembulian ini,” katanya pada sidang media di pejabat MCA di sini hari ini.

Wong yang sebelum ini menjadi pemandu teksi selama 30 tahun berkata, akibat tuduhan itu, dia takut untuk kembali membuat perkhidmatan e-hailing dan kehilangan pendapatan sehingga RM300 sehari.

Sementara itu, Ketua Biro Aduan dan Perkhidmatan Awam Pemuda MCA yang juga Ketua Pemuda MCA Johor Heng Zhi Li berkata, kecaman dan pembulian ini harus dihentikan kerana ia boleh mendatangkan kemudaratan.

Pada 18 Ogos lalu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh mengesahkan tiada insiden cubaan menculik membabitkan pemandu e-hailing berkenaan dan seorang penumpang remaja perempuan berusia 17 tahun.

Balveer Singh dipetik berkata, sebaliknya kejadian itu merupakan satu salah faham apabila pemandu bertindak menukar laluan tanpa memaklumkan penumpang kerana terdapat kerja penyelenggaraan jalan di laluan asal sehingga menyebabkan penumpang bertindak terjun dari kereta dinaiki.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *