December 22, 2024

Saya percaya, semua dari kita, pernah melalui lowest point atau titik terendah dalam hidup. Secara peribadi, saya merasainya, ketika menjalani pembedahan jantung saya baru- baru ni.

Ada kalanya kita merasa keseorangan, ada kalanya kita merasa putus asa. Begitu juga ada di antara kita yang melalui saat-saat getir, hilang pekerjaan, gagal dalam perniagaan serta kehilangan orang yang kita sayang.

Begitu juga parti kita, setelah hilang kuasa, UMNO seolah-olah hilang masa depan. Satu demi satu rakan dan sahabat meninggalkan kita. Kita tewas dalam pilihanraya, pemimpin-pemimpin kita didakwa dan ditekan dengan pelbagai ugutan.

Namun, perlahan-lahan kita bangkit. Kita cuba pelbagai cara. Satu-satunya sumber kekuatan kita adalah keyakinan, bahawa kita berada di wadah dan perjuangan yang betul. Pihak lawan gagal menghancurkan kita secara total.

Keyakinan untuk hidup membolehkan kita bangun dan berdiri semula dari kegagalan. Nenggiri, membuktikan segala-galanya belum berakhir buat UMNO. Rakyat sebenarnya tidak ragu-ragu untuk memberikan peluang kepada kita, dengan syarat, kita memperlihatkan kesedaran dan kesungguhan kita untuk berubah.

Mereka mahu melihat UMNO yang bersungguh-sungguh membela nasib bangsa. Mereka mahu melihat UMNO benar-benar berupaya menonjolkan muka-muka baharu yang berkualiti. Mereka mahu melihat UMNO yang sebenar. UMNO yang serba sederhana dalam pendekatannya, berpolitik tidak ekstrim, berteraskan perjuangan Melayu Islam, tanpa meminggirkan hak golongan minoriti atau bangsa lain.

Paling penting, rakyat tidak mahu melihat UMNO yang berpecah-belah dan saling salah menyalahkan antara satu sama lain. Apabila semua ini dilaksanakan, maka rakyat tanpa ragu-ragu akan memberikan semula sokongan kepada UMNO. Oleh itu, janganlah kita jadikan kemeriahan yang sudah lama tidak dirasai di Dewan Merdeka ini, sebagai sesuatu yang sementara.

Di luar sana, pihak lawan sentiasa mencari jalan untuk memusnahkan parti kita. Maka, mereka menjadi pengadu domba, mereka menjadi pemecah belah, dan mereka menjadi batu api, yang membakar kita dari dalam.

Namun, mereka harus ingat, UMNO yang ada pada hari ini terdiri daripada Presiden, barisan kepimpinan dan ahli yang tahan diuji. Sekuat mana badai melanda, setinggi mana ombak menghempas, biar kami berputih tulang dari berputih mata.

MENDEPANI CABARAN POLITIK BARU

UMNO perlu bertanggungjawab bagi menjelaskan kekeliruan dikalangan orang Melayu Islam bahawa parti dan agama, merupakan dua perkara yang berbeza. Bayangkan pihak lawan yang sebangsa dan seagama, sanggup mentakrifkan UMNO sebagai sekular dan sesat, membacakan qunut nazilah, mendoakan kehancuran, malahan ada kalanya membacakan talkin kepada UMNO, satu sindiran seolah-olah UMNO telah mati.

Begitu juga mereka sanggup mengheret institusi Raja dalam kancah politik, lalu merendahkan kedudukan Raja-Raja Melayu. Mereka turut memainkan sentimen perkauman dan politik kebencian melampau.

Setiap hari, PAS asyik meratib UMDAP, UMDAP, UMDAP, tetapi kita kena ingat, orang UMNO belum pernah berguling atas jalan sambil pegang bendera DAP. PAS boleh jadi apa sahaja kerana politik (Mereka boleh jadi penyu hijau macam yang dipaparkan semasa Ucapan Dasar Presiden) Agama digunakan hanya untuk menghasut rakyat terutamanya anak-anak muda.

Maki hamun, carutan, caki maki, fitnah dan pembohongan dinormalisasikan melalui kempen-kempen mereka. Strategi yang digunakan ini merosakkan cara pemikiran generasi muda Melayu, dan generasi ini akan mewarisi negara yang tercinta pada suatu hari nanti.

Maka, menjadi tanggungjawab UMNO untuk memperbetulkan keadaan ini.

Sebahagian daripada pengundi kita terdiri daripada mereka yang tidak tinggal atau menetap di kampung halaman atau tempat mereka membuang undi. Justeru, mereka tidak merasai perkhidmatan dan bakti yang diberikan oleh UMNO atau wakil-wakil rakyat kita.

Menyedari hakikat ini, adalah penting bagi kita memberi sentuhan kepada mereka melalui penubuhan sekretariat anak rantau. Mungkin saya boleh mencadangkan agar setiap negeri menubuhkan sekretariat atau unit anak rantau.

Di Pahang, kami telah mewujudkan Sekretariat Perantau Anak Pahang dan Sekretariat Mahasiswa Anak Pahang. Manakala, Sekretariat Perantau Anak FELDA Pahang dalam proses penubuhan.

Ketiga-tiga sekretariat ini berfungsi untuk menjaga kebajikan, selain memberi penjelasan terhadap sebarang isu yang timbul di Negeri Pahang yang mampu memberi kesan negatif terhadap Kerajaan Negeri.

Mahu tak mahu, ia perlu dilakukan sekarang. Do or die. Jangan bila sudah terperosok baru hendak membaiki lantai.

Kejayaan memenangi PRK Nenggiri adalah sesuatu yang signifikan. Dan strategi yang dipraktikkkan ini, jika diteruskan ke PRK DUN Mahkota, akan dapat mengekalkan momentum kemenangan, termasuklah di PRN dan PRU yang bakal kita harungi tidak lama lagi.

Kunci kepada kejayaan ini adalah disiplin ahli-ahli parti, menghormati Institusi Presiden, akur kepada arahan parti, meminimakan masalah dalaman di semua peringkat, sama ada di peringkat Pusat, Negeri, Bahagian dan Cawangan.

Budaya Orang Parti dengan meletakkan kepentingan organisasi ini berbanding diri sendiri, dapat dilihat dengan jelas di PRK Nenggiri. Saudara Awie, walaupun tidak tercalon sebagai calon pada PRN ke-15 yang lalu, tetap istiqomah, berkhidmat kepada parti dan masyarakat setempat.

Akhirnya, apabila beliau dipilih sebagai calon, tiada kedengaran cah keting dan sabotaj parti. Inilah antara yang telah menyumbang kepada kemenangan kita dengan majoriti besar. Tahniah YB Awie yang lahir daripada kilang Pemuda UMNO kerana memenangi PRK Nenggiri.

Tahniah juga kepada Dato Seri Presiden, Dato’ Sri Ahmad Jazlan Yaakub, Yang Mulia Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah, serta seluruh jentera UMNO dan Barisan Nasional yang telah menunjukkan contoh dan tauladan yang sangat baik, bagi memastikan kemenangan yang penuh bermakna ini.

Saya dapati, gerak kerja Petugas Rumah 10 jentera Wanita UMNO Malaysia, turut membantu kemenangan di Nenggiri. TAHNIAH, WANITA

MEMANG LUAR BIASA!

Dengan kuasa politik dan keberadaan kita dalam kerajaan selama ini, UMNO telah memperkasa dan mewujudkan pelbagai institusi berkaitan agama Islam. Terkini, usaha kita dalam memperkasa institusi tahfiz, harus disambut dan didokongi UMNO, seperti mana yang dilakukan Dato’ Seri Presiden dengan mengukuhkan Dasar Tahfiz Negara.

Saya ingin menzahirkan rasa syukur dan terima kasih kepada Dato’ Seri Presiden kerana menggunapakai modul pendidikan Tadika Tahfiz Negeri Pahang di 4,000 Tadika KEMAS seluruh negara.

Rakyat hari ini, khususnya golongan muda atas pagar, lebih menghargai kempen-kempen yang mempromosikan kebaikan, berbanding memburukkan pihak lawan. Generasi muda hari ini lebih suka kita ceritakan tentang masa hadapan.

Tentang apa yang mereka boleh capai, tentang apa yang mereka boleh dapat, dan apa hala tuju mereka. Antara usaha yang telah kita lakukan untuk meraih sokongan golongan muda, adalah ikhtiar kita untuk memberi jaminan kepada masa hadapan, khususnya peluang pekerjaan dan bidang kemahiran seperti pendidikan TVET, yang sedang dipelopori oleh Dato’ Seri Presiden sendiri, selaku Pengerusi Jawatankuasa Majlis TVET Negara, boleh menambah keyakinan mereka.

Sekiranya kita nak menang, buat cara nak menang. Jika kita kehilangan arah, kita juga akan kehilangan kuasa. Bak kata orang tua-tua, patah kemudi, perahu hanyut. Justeru sebagai orang parti, di dewan yang mulia ini, saya ingin mengusulkan perkara berikut:

i) Pertama, UMNO perlu mula memberikan tekanan kepada pihak lawan, terutama di kawasan yang dimenangi mereka dengan mencari kelemahan mereka. Kalau di Pahang, kita telah melantik penyelaras yang mana peranannya adalah untuk memastikan rakyat dapat merasakan perbezaan perkhidmatan yang diberikan oleh UMNO.

ii) Kedua, UMNO perlu lebih awal mengenalpasti tokoh yang boleh menjadi taruhan parti pada pilihanraya akan datang.

iii) Ketiga, UMNO perlu mendampingi golongan agamawan. Ramai guru-guru pondok dan guru tahfiz sebenarnya menolak kaedah dibawa oleh PAS, tetapi kurang disantuni oleh UMNO.

iv) Keempat, Gerak kerja dan pelaksanaan agenda ekonomi

Bumiputera perlu digerakkan lebih giat oleh UMNO, dan kesannya perlu dilihat dan dirasai dalam tempoh berbaki sebelum pilihanraya.

v) Dan Kelima, Kawasan yang dimenangi UMNO perlu menjadi contoh dan model kepada kawasan-kawasan lain dari segi pembangunan, sosial, ekonomi dan perkhidmatan wakil rakyat.

MAJLIS PERKADERAN DAN LATIHAN

Mengambil semangat daripada kejayaan di Nenggiri, selaku Pengerusi Majlis Perkaderan dan Latihan UMNO, saya merancang untuk melipatgandakan latihan perkaderan kepada jentera UMNO terutama di kalangan Gen Ze.

Modul perkaderan telah ditambah baik, bagi memperkasakan kepimpinan muda supaya kita dapat meneruskan momentum ini. Alhamdulillah, sejak menerajui MPL tahun lalu, sebanyak 22 program telah diadakan melibatkan kepimpinan di peringkat Cawangan,

Bahagian, Negeri dan juga Pusat, dengan hampir 2,000 peserta telah menyertainya, termasuklah pimpinan UMNO Siswa. Saya berharap, kepimpinan di pelbagai peringkat, khususnya di peringkat bahagian, dapat memperkasakan kepimpinan siswa ini, dengan memberi ruang kepada mereka memegang jawatan Ahli Jawatankuasa dilantik bawah 30 tahun di bahagian masing-masing. Saya yakin, mereka ini akan dapat membantu memahami pola pemikiran, dan mempengaruhi pengundi 18 hingga 25 tahun, bertepatan dengan apa yang ditekankan oleh Timbalan Presiden sebagai Team Sukses.

Selain daripada menjalankan program-program latihan persiapan jentera pilihanraya seperti yang telah diadakan sebelum ini, MPL juga secara konsisten menyusun beberapa siri latihan, bagi membina jati diri di kalangan ahli dan pimpinan UMNO.

Program ini amat penting bagi memberi pendedahan kepada pemimpin muka baharu. Baru-baru ini, kami mengadakan pemukiman kepimpinan G5 Puteri Bahagian-Bahagian di seluruh negara, dengan memberi penekanan kepada gerak kerja berpasukan dalam melaksanakan visi dan misi Puteri itu sendiri.

Saya dimaklumkan oleh Along (Dato Nurul, Ketua Puteri UMNO Malaysia) majoriti kepimpinan Puteri di Bahagian-Bahagian terdiri di kalangan 70 peratus muka-muka baru. Alhamdulilah, selepas menjalani kursus MPL, kepimpinan G5 Puteri

Bahagian-bahagian, telah menunjukkan keberkesanan dalam kepimpinan, dan bertambah agresif untuk mencari keahlian di akar umbi. Ini terbukti dengan tertubuhnya 378 cawangan baru, dengan keahlian melebihi 18,000 orang ahli baru, dan ianya diterjemahkan dalam Persidangan Puteri kelmarin. Tahniah kepimpinan Puteri !

PERJUANGAN DATO’ SRI NAJIB RAZAK

Tidak lengkap ucapan saya ini jika isu Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak, tidak saya sentuh. Dalam isu ini, kita bukan gagal, cuma kita sebenarnya masih belum berjaya. Lembaga Pengampunan memutuskan hukuman beliau dikurangkan, namun apa yang menjadi persoalan, wujudnya Titah Adendum, agar baki hukuman Bossku dijalankan di rumah. Ini tidak berlaku dan menimbulkan tanda tanya sama ada titah ini wujud atau tidak.

Dato’ Sri Presiden telah mengeluarkan affidavit yang mengesahkan beliau telah melihat sendiri titah tersebut. Saya juga mengeluarkan affidavit bahawa saya mengetahui kewujudan titah itu. Masakan Dato’ Sri Presiden selaku Timbalan Perdana Menteri kepada Kerajaan Yang di-Pertuan Agong ketika itu, dan saya Menteri Besar Pahang kepada Kerajaan Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, hendak bermain sandiwara atau berdrama tentang perkara ini.

Bukannya kecil risiko yang kami ambil dalam situasi ini. Oleh itu, saya mohon agar para perwakilan dan seluruh ahli UMNO untuk berikan keyakinan kepada Dato’ Seri Presiden dan seluruh saf kepimpinan UMNO yang ada pada hari ini.

Selagi ada jalan, selagi ada ruang, selagi ada nyawa dan kudrat kami, ikhtiar bagi mendapatkan keadilan untuk Bossku tidak akan terhenti.

Yakin dan percayalah, UMNO masih hidup dan bernyawa,Jika kita tidak basahkan pendayung, Masakan sampai ke daratan. Beranikan hati, mematahkan nista, Mara menyanggah, musuh pendusta, Kemenangan di Nenggiri, jangan kita membangga diri. Ikutlah resmi padi, makin tunduk makin berisi, Menang tak megah, kalah tak rebah. Teruslah istiqomah, membawa obor perjuangan bangsa, Semangat di Nenggiri, kita bawa ke DUN Mahkota, Janganlah kita lalai dan alpa, Yang menjadi punca kita kehilangan kuasa.

Kerana kelak, Kita hangus tidak berapi, dan karam tidak berair, Ayam ditambat disambar helang, Ikan dipanggang tinggallah tulang. Maralah tanpa gentar di dada, Mengibar Sang Saka bangsa, Demi maruah di bumi bertuah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *