December 23, 2024

KUALA LUMPUR: Pernah disenaraikan dalam 10 artis meraih undian tertinggi pada saingan Top 5, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) Ke-35 tidak membuatkan penyanyi Siti Nordiana yakin akan mengulangi sejarah sama, tahun ini.

Siti Nordiana atau lebih mesra disapa Nana berkata, dia menyerahkan kepada peminat untuk mengundi.

“Saya melepaskan semuanya kepada kelab peminat. Saya tidaklah paksa, terpulanglah kepada mereka untuk mengundi. Saya juga tak mahu mengganggu rutin harian mereka.

“Sebenarnya, ada kelab peminat yang sentiasa memberi sokongan membuatkan saya bersemangat untuk berkarya dan berikan yang terbaik disebabkan mereka sanggup buat apa sahaja untuk saya,” katanya kepada BH Online.

Nana disenaraikan sebagai calon awal bagi kategori Penyanyi Wanita Popular, Artis Kolaborasi/Duo/Berkumpulan Popular bersama Saujana, Lagu Paling Boom menerusi lagu Arah Cinta dan Artis Sensasi Popular pada ABPBH 36. 

Nana berkata, sebagai artis lama, dia sangat bersyukur masih mempunyai tempat dalam anugerah berprestij itu.

“Saya tak sangka dapat disenaraikan dalam empat kategori sebab tak senang untuk duduk dalam kalangan Top 20, apatah lagi, bersaing dengan artis lebih muda. Jadi, saya bersyukur ada tempat walaupun hanya Top 20. 

“Saya akui susah nak kekal relevan, kena ada produk dan tak boleh senyap supaya orang tahu kita ada dalam industri. Ia adalah usaha berpanjangan, kalau lagu tak jadi, kita buat lagi, tak boleh nak berhenti,” katanya.

Sebagai artis yang banyak memberi sokongan kepada ABPBH, Nana berkata, anugerah ini banyak memberikan impak positif pada kerjaya seninya.

“Menerusi ABPBH saya dapat banyak pengikut. Saya juga dapat terima tawaran daripada jenama menjadi duta produk dan banyak undangan persembahan.

“Jadi, ia banyak membantu saya sebab ABPBH adalah anugerah besar dan ada kempen bersama peminat. Kalau menang ia memberi bonus kepada artis. Ia sememangnya memberi ruang dan peluang yang banyak buat saya,” katanya.

Menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan Ke-67, ABPBH 36 dilancarkan kelmarin mengangkat tema Teguh membawa mesej keutuhan, perpaduan dan solidariti dalam kalangan rakyat Malaysia.

ABPBH 36 diinspirasikan CONBOO sebagai penaja utama.

Mempertandingkan 16 kategori utama, pemilihan artis dan selebriti kegemaran boleh dilakukan bermula hari ini hingga 30 September depan menerusi laman web ABPBH 36 di www.abpbh.com.my.

Manakala undian bagi kategori sampingan, Ekstra! akan bermula pada 29 Ogos ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *