December 23, 2024

Perwakilan Puteri Umno tetap mendesak agar had usia sayap itu dinaikkan daripada 35 kepada 40 tahun bagi menjamin kelangsungannya.

Exco Puteri Umno, Siti Nor Hasyyati Abd Rahman, berkata perubahan itu perlu kerana 153 ketua-ketua Puteri Umno bahagian akan melewati tahap usia yang dibenarkan iaitu 35 tahun.

“Izinkan saya untuk membawa suara Puteri (Umno) yang telah dipersetujui semasa Perhimpunan Agung Pergerakan Puteri Umno yang berlangsung pada tanggal 22 Ogos lalu.

“Dalam Perhimpunan Agung tersebut, kami memohon dan merayu agar had umur Puteri dinaikkan daripada 35 tahun kepada 40 tahun.

“Apakah signifikannya rayuan kami ini wahai ayahanda-ayahanda dan bonda-bonda sekalian? Keberadaan kami di sini bukan semata-mata kerana jawatan, tapi niat di hati ingin berbakti dan memastikan kelangsungan sayap Puteri (Umno),” katanya ketika membahaskan ucapan dasar Presiden Umno sempena Perhimpunan Agung Umno 2024 (PAU2024) di Kuala Lumpur, hari ini.

Terdahulu, Ketua Puteri Umno, Nurul Amal Mohd Fauzi mencadangkan supaya had umur ahli pergerakan itu dilanjutkan sehingga 40 tahun berbanding 35 tahun ketika ini.

Gesaan itu dibuat pada Perhimpunan Puteri Umno semalam.

Bagaimanapun ketika ucapan penggulungan, Ketua Wnaita Umno, Noraini Ahmad menolak cadangan berkenaan.

Sebaliknya Noraini berkata pertimbangan boleh dibuat untuk menurunkan had umur keanggotaan Puteri Umno kepada 16 tahun berbanding 18 tahun ketika ini.

“Tak payah nak naik 40 tahun. 40 tahun pun dah ada anak-anak. Nanti sama-sama pergi program dengan anak.

“Tujuan dulu Puteri ditubuhkan sebab kita tak nak pergi program bersama dengan mak-mak kita,” selorohnya.

Hanya sempat sepenggal

Mengulas lanjut, Hasyyati berkata jika had usia tidak dinaikkan, sekitar 80 peratus pemimpin Puteri Umno akan meninggalkan sayap itu tidak sampai sepenggal.

Katanya, kewibawaan Puteri Umno telah terbukti apabila Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Azalina Othman Said datangnya dari “kilang” Puteri Umno.

Begitu juga dengan Ketua Wanita Umno, Noraini Ahmad juga adalah produk keluaran sayap itu.

“Bayangkan, sebahagian yang terlalu besar di kalangan kami, 80 peratus akan meninggalkan Puteri walau hanya sempat memimpin selama sepenggal. 

“Sedar atau tidak, 153 ketua-ketua Puteri Bahagian akan melewati tahap usia yang dibenarkan iaitu 35 tahun,” katanya lagi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *