December 22, 2024

Wanita Umno melalui jurucakapnya yang juga anak kepada Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi iaitu Nurulhidayah, merayu agar kerusi DUN Mahkota dikekalkan untuk calon Wanita Umno.

Nurul yang juga Exco Wanita Umno berkata, adalah sewajarnya calon wanita diberi peluang bertanding di kerusi yang dianggap sebagai laluan mudah untuk BN menang.

Bagaimanapun Nurul menegaskan rayuan yang dikemukakannya bagi mewakili Wanita Umno itu tidak berniat untuk mencampuri urusan tertinggi parti.

“Kami pun bukanlah demand sangat. Maksud kami, meletakkan kami di mana-mana kerusi yang mudah menang.

“Biaq (biar) lah hat lelaki duk di tempat yang payah kerana ikut logik alam dan manusia, lelaki lebih kuat.

“Secara terbuka dan tanpa berniat untuk mencampuri urusan kepimpinan tertinggi Umno, kami Wanita Umno memohon serta merayu agar YAB presiden Umno merangkap Pengerusi BN, dapat mempertimbangkan untuk meletakkan calon wanita di DUN Mahkota,” katanya.

Sebelum ini, Ketua Pemuda Umno, Akmal Saleh turut menyuarakan agar kerusi berkenaan diberikan kepada calon daripada pemuda untuk bertanding.

Namun, Ketua Wanita Umno, Noraini Ahmad mahukan kerusi tersebut terus dikekalkan kepada calon wanita.

Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota, 28 September ini susulan kematian penyandangnya Sharifah Azizah Syed Zain pada 2 Ogos lalu.

Mengulas lanjut, Nurul berkata secara tradisinya DUN Mahkota sebelum ini disandang oleh seorang wanita.

“Yang berbahagia ayahanda Tan Sri pengerusi tetap, saya hanya mampu menjadi wakil kepada suara wanita untuk memohon kerusi untuk bertanding, kerana tahu saya tak layak nak minta kerusi di Bagan Datuk.

“Tapi kalau nak bagi laluan saya tak tolak,” katanya secara berseloroh.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *