December 22, 2024

KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata masih terlalu awal untuk UMNO memutuskan sama ada untuk bergerak secara solo pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16) atau sebaliknya.

Beliau berkata, adalah tidak adil untuk UMNO menilai perkembangan semasa parti ketika ini untuk memutuskan perkara itu, sedangkan PRU-16 belum ditentukan tarikhnya.

“Keputusan untuk bergerak solo mahupun mengadakan kerjasama dengan mana-mana parti akan diputuskan apabila tiba masanya.

“Kepimpinan UMNO akan meneliti dan melihat (bila) sampai waktunya… sebab kita tidak boleh menilai diri kita sekarang untuk tahun 2027 (PRU16). Apabila sampai masa nak PRU nanti, kita lihatlah bagaimana kekuatan parti kita,” katanya selepas mengadakan lawatan di Laman Media sempena Perhimpunan Agung UMNO 2024 hari ini.

Semalam, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi melalui ucapan dasar Presiden UMNO antara lain membangkitkan persoalan mengenai langkah terbaik dalam politik semasa, sama ada mahu bergerak solo atau sebaliknya.

Dalam pada itu, Mohamad berkata sekiranya keadaan UMNO ketika itu membolehkan untuk bergerak solo, maka parti akan membuat keputusan pada waktu itu.

“Kalau tidak boleh bergerak solo, kita memerlukan rakan untuk kita menghadapi PRU pun kita akan fikirkan pada waktu itu. Terpulang pada waktu itu,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *