December 23, 2024

Ketua Pemuda Umno, Dr Akmal Saleh berkata dia sangat yakin bahawa calon yang dikemukakan sayap parti itu bagi kerusi DUN Mahkota merupakan calon yang terbaik antara calon-calon yang disenaraikan.

“Sangat yakin (calon Pemuda Umno) yang terbaik. Sangat yakin.

“Kerana menjadi keutamaan kami dan sudah tentu sebagai ketua pemuda saya akan bawa nama calon daripada saya dan sayap wanita pun akan bawa tapi let’s us decide yang calon yang kita bagi itu adalah calon yang terbaik di Mahkota,” katanya kepada pemberita ketika sesi ramah mesra bersama media sempena Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2024 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) hari ini.

Sementara itu mengulas rayuan anak kepada Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi iaitu Nurulhidayah agar kerusi DUN Mahkota dikekalkan untuk calon Wanita Umno, Akmal berkata ia bukan soal anak presiden semata-mata.

“Yang paling penting bukan soal dia anak presiden, bukan soal presiden, ini bukan soal Pemuda atau Wanita tetapi ini soal kita nak menang di DUN tersebut sebagai keluarga BN. 

“Tapi, kalau dia ada calon yang baik dan ok tapi kalau calon yang dikemukan itu kurangnya adalah lebih baik kita letak (Pemuda),” tegasnya.

Terdahulu, Wanita Umno melalui jurucakapnya Nurulhidayah merayu agar kerusi DUN Mahkota dikekalkan untuk calon Wanita Umno.

Nurul yang juga Exco Wanita Umno berkata, adalah sewajarnya calon wanita diberi peluang bertanding di kerusi yang dianggap sebagai laluan mudah untuk BN menang.

Mengulas lanjut, Akmal berkata dia yakin presiden cukup waras dan rasional dalam mempertimbangkan siapakah calon yang perlu diletakkan di DUN Mahkota.

“Jadi ini bukan siapa yang bercakap tapi soal bagaimana untuk memenangi DUN Mahkota.

“Ya, betul Wanita (Umno) ada kemukakan calon yang dia rasakan bagus tetapi sama juga dengan Pemuda (Umno), kita pun ada bawa calon yang kita rasa boleh diterima oleh masyarakat di DUN Mahkota. 

“Tapi apa pun keputusan itu tertakluk pada presiden dan juga pucuk pimpinan.

“Bagi Pemuda (Umno), kita dah bagi nama yang terbaik tapi terpulang kalau ada rezeki kita akan buat kerja dan kalau tak ada rezeki pun kita tetap akan memenangkan DUN Mahkota,’ katanya.

Kata Akmal tidak timbul isu sayap itu akan terus mendesak agar calonnya dicalonkan di DUN terbabit.

Malah katanya, dia akan berlapang dada dengan setiap ketetapan yang dibuat pucuk pimpinan parti.

“Tak ada isu untuk Pemuda (Umno) bagi mendesak dan sebagainya, tidak.

“Bagi saya sebab momentum di Nenggiri itu perlu diteruskan apabila ada orang muda tapi kalau Wanita (Umno) ada calon yang lebih baik daripada Ppemuda, kita setuju dan tak ada masalah.

“Kita berlapang dada, sudah tentu tapi bila Pemuda (Umno) bawa satu nama, kami ini jarang bawa nama, setiap kali PRU atau pun PRK sebab kalau tak ada (calon) pemuda yang betul-betul boleh diterima oleh masyarakat di dalam kawasan itu maka saya tidak akan bawa.

“Tetapi di Nenggiri ramai yang merasakan bahawa kita akan kalah tapi Pemuda (Umno) yakin kita bawa satu nama yang kita rasa sudah bekerja di situ dan kita fight kerusi itu dan alhamdulillah kita rampas balik Nenggiri.

“Termasuk juga di DUN Mahkota kita ada calon yang kita rasakan memang boleh diterima oleh semua lapisan masyarakat sama ada Melayu atau pun bangsa lain,” tambahnya.

Sebelum ini, Akmal mahu DUN Mahkota ditandingi calon Pemuda Umno walaupun Ketua Wanita Umno, Noraini Ahmad telah menyuarakan tuntutan agar kerusi tersebut terus dikekalkan kepada calon wanita.

Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota, 28 September ini susulan kematian penyandangnya Allahyarhamah Sharifah Azizah Syed Zain pada 2 Ogos lalu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *