December 22, 2024

Anak kepada Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi, Nurul Hidayah sebak apabila mengenangkan nasib Najib Razak yang kini berada di sebalik tirai besi.

Bercakap ketika membahaskan ucapan dasar Presiden Umno di Perhimpunan Agung Umno 2024 (PAU2024), Nurul yang menjadi jurucakap Wanita Umno berkata, Dewan Merdeka menggamit kerinduan kepada Najib.

“Kesungguhan presiden Umno kita yang terdahulu, bossku Datuk Seri Najib Razak telah membawa negara ke mercu kecemerlangan dengan pelbagai transformasi untuk kesejahteraan rakyat dan seluruh ahli Umno.

“Benar kita amat merindui zaman bossku. Kita amat merindui ‘sentuhan’ bossku. Apabila berada di dalam Dewan Merdeka ini, setiap kali Perhimpuan Agung Umno, aura dan kehadiran bossku masih ada dan terasa,” katanya

“Di setiap bahagian yang saya hadiri sebagai perasmi, saya mendengar usul daripada perwakilaan wanita agar bossku diberikan keadilan dengan sebaik-baiknya.

“Semoga ada sinar buat bossku, dan saya secara peribadi menyokong usul para perwakilan wanita agar kepimpinan tertinggi Umno dapat terus menegakkan keadilan buat bossku tanpa gagal dan jangan pernah putus usaha serta daya buat seorang pemimpin yang pernah bersama-sama kita dalam susah dan senang,” katanya ketika berucap.

Mengulas lanjut, Nurul turut menyentuh tentang kepimpinan Umno khususnya Ahmad Zahid yang terus menjadi sasaran kepada serangan pihak tertentu.

Katanya, sebagai anak dia menyaksikan sendiri bagaimana perit jerih ayahnya dalam usaha mempertahankan Umno dan memastikannya kekal relevan.

“Terkini, masih lagi berlangsung kejadian kepimpinan Umno dipersalahkan, di cari kesalahan, terutamanya YAB presiden sering diserang bertubi-tubi dari luar dan dalam.

“Beliau dihina, dimaki, dihamun, malah diberi panggilan dan gelaran yang tidak baik dengan niat untuk membunuh karektor seorang yang bergelar presiden Umno,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *