December 23, 2024

KUALA LUMPUR: Presiden Umno Zahid Hamidi memberi amaran supaya ahlinya tidak terbuai dengan fitnah dan tohmahan pihak lawan sehingga terbit rasa sangsi sesama sendiri.

Ketika menyampaikan ucapan dasar di hadapan lebih 2,000 perwakilan, Zahid mahu setiap peringkat termasuk Majlis Kerja Tertinggi (MKT) mengetepikan perbezaan dalam usaha memperkuat parti agar Umno kembali dominan pada PRU16.

“Untuk jadi dominan semula, tak ada orang lain boleh bantu kita, kita mesti bantu diri dengan memperkuatkan parti kita sendiri, katanya pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2024 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).

“Ketepikan titik bengik (hal remeh) dalam kalangan kita … di cawangan selesaikan masalah cawangan, di bahagian selesai cara bahagian … dalam MKT, selesai cara MKT, yang masalah di bawah sebab di atas ni.


Pemilihan parti lama lagi, menang pilihan raya dulu, bentuk kerajaan dulu … tiada di atas kalau tiada dukungan di bawah.

Umno mencatat prestasi terburuknya dalam pilihan raya pada PRU15 apabila hanya memperoleh 26 daripada 30 kerusi dimenangi Barisan Nasional (BN). Empat lagi kerusi dimenangi MCA (2), masing-masing satu oleh MIC dan Parti Bersatu Rakyat Sabah.

Zahid berkata, landskap politik semasa menyaksikan tiada satu parti atau gabungan menguasai majoriti mudah untuk membentuk kerajaan, yang memerlukan Umno memilih dinamika politik baharu.

“Umno mesti keluar dari ‘echo chamber’ dan zon selesa. Kita mesti berani berdepan dengan idea baharu dan perspektif yang beragam agar tetap relevan dalam landskap politik yang semakin kompleks.

Jangan kita ingat kita dominan seperti dahulu lagi, katanya.

Usaha kembali dominan

Zahid yang juga timbalan perdana menteri berkata, untuk kembali menjadi dominan, bahagian Umno kawasan Parlimen dan DUN yang gagal dimenangi perlu merencana usaha menawan semula kerusi berkenaan.

Katanya, selain itu Umno perlu dominan dalam menawarkan dasar awam yang menjamin kesejahteraan hidup rakyat serta kemakmuran negara.

Dominan dalam ideologi perjuangan mempertahankan keindukan Islam dan Melayu/Bumiputera serta di depan dalam kedudukan perundingan sekiranya keadaan memerlukan perkongsian, katanya.

Keempat-empat faktor ini, bukan sahaja berkait dengan soal kelangsungan parti tetapi mampu menjadikan parti kita penentu dalam soal pembentukan kerajaan.

Sekolah rendah Mara lengkap ekosistem pendidikan

Menteri kemajuan desa dan wilayah itu berkata, Umno turut mencadangkan Mara, agensi bawah kementerian itu membuka sekolah rendah bagi melengkapkan ekosistem pendidikan yang holistik.

Ini bagi memastikan agenda membangunkan generasi masa depan dapat digarap dengan silibus pembangunan modal insan yang mantap, katanya.

Mara kini mempunyai 57 Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dengan kapasiti seramai 37,000 pelajar berusia 13 hingga 17 tahun.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *