September 19, 2024

KUALA LUMPUR: Sebanyak 72 daripada 171 bahagian Umno mengusulkan untuk menuntut keadilan dan pengampunan penuh bekas presiden Najib Razak.

Setiausaha Agung Umno, Asyraf Wajdi Dusuki, berkata usul itu adalah yang tertinggi diperoleh dalam Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2024.

“Sesungguhnya, selagi ‘Bossku’ terperangkap di tirai besi, suara dan ikhtiar Umno tak pernah terhenti.

Malah berikan kepercayaan dan keyakinan kepada kepimpinan tertinggi. Mohon untuk kita terus berdoa kerana berdoa itu senjata kita, katanya ketika berucap di perhimpunan itu.

Pada 2 Feb lalu, Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan bersetuju memendekkan hukuman penjara 12 tahun bekas perdana menteri kepada enam tahun manakala denda RM210 juta juga dikurangkan kepada RM50 juta.

Pada 28 Julai 2020, Najib disabit kerana salah guna kuasa, pengubahan wang dan pecah amanah jenayah dalam kes SRC International, melibatkan dana berjumlah RM42 juta.

Beliau menjalani hukuman penjara 12 tahun pada 23 Ogos 2022 di Penjara Kajang sejurus Mahkamah Persekutuan menolak rayuan terakhir.

Pada 1 April lalu, Najib memfailkan permohonan ke Mahkamah Tinggi untuk memaksa kerajaan mendedahkan ‘perintah tambahan’ yang didakwa daripada Agong terdahulu, semasa mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan pada 29 Jan.

Najib mendakwa kerajaan melakukan penghinaan kerana tidak melaksanakan ‘perintah tambahan’ tersebut, yang menurutnya tidak diumumkan oleh lembaga berkenaan pada 2 Feb.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *