September 19, 2024

KUALA LUMPUR – Tindakan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang sengaja menyentuh sentimen 3R (agama, kaum, raja) semasa berkempen di Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri bukan sahaja tidak bertanggungjawab, bahkan cuba meraih sokongan politik dengan cara tidak sihat.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Subang, Datuk Seri Fariz Hazurin Ismail berkata, bekas Perdana Menteri itu berbuat demikian tanpa mengambil kira implikasi hingga boleh mencetuskan ketegangan dalam kalangan masyarakat.

“Saya berasa kecewa dengan kenyataan Tan Sri Muhyiddin yang amat tidak bertanggungjawab, apatah lagi dilakukan oleh seorang tokoh politik yang sepatutnya memahami isu-isu sensitif.

“Kenyataan Tan Sri Muhyiddin bukan sahaja menimbulkan persepsi negatif terhadap integriti dan kebolehan Yang di-Pertuan Agong, bahkan berpotensi besar mencetuskan ketidakharmonian dalam kalangan rakyat.

“Tindakan itu tidak boleh diterima sama sekali, terutama dalam sebuah negara yang mengamalkan prinsip Raja Berperlembagaan,” katanya kepada MalaysiaGazette, hari ini.

Sebelum ini, tular di media sosial mengenai ucapan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu yang dikatakan menyentuh kewibawaan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, ketika baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong (YDPA) ke-16.

Ucapan Muhyiddin itu antara lain menyentuh pelantikan Perdana Menteri ke-10 selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 2022.

Terdahulu Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah menzahirkan kemurkaan dan rasa terkilan dengan kenyataan Muhyiddin serta bertitah mahu polis mengambil tindakan tegas tanpa kompromi.

Ucapan Muhyiddin juga menyebabkan polis menerima sehingga 29 laporan daripada pelbagai pihak.

Menurut Fariz Hazurin, institusi YDPA mempunyai kuasa mutlak seperti mana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan di bawah Perkara 40(2) dan Perkara 43(2) yang perlu dihormati sepenuhnya oleh semua pihak.

“Namun, tindakan Tan Sri Muhyiddin Yassin ini jelas memperlihatkan kurangnya rasa hormat terhadap institusi tertinggi negara.

“Institusi raja bukan sahaja menjadi lambang kedaulatan negara, tetapi juga memainkan peranan penting dalam menjamin kestabilan dan keharmonian negara.

“Sebarang percubaan mempertikaikan keputusan YDPA dalam pelantikan Perdana Menteri adalah satu bentuk penghinaan yang amat serius dan tidak boleh dibiarkan tanpa tindakan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau juga mempersoalkan kenyataan Muhyiddin yang mendakwa bekas Perdana Menteri itu mewakili pendirian keseluruhan Perikatan Nasional (PN) yang terdiri daripada Bersatu, Pas dan Gerakan.

“Sekiranya kenyataan ini merupakan pandangan bersama yang telah dipersetujui oleh kesemua parti dalam PN, maka adalah wajar untuk seluruh kepimpinan PN tampil memberikan penjelasan kepada rakyat.

“Namun, jika sebaliknya, Tan Sri Muhyiddin wajib membuat permohonan maaf secara terbuka kepada YDPA dan seluruh rakyat Malaysia.

“Hal ini adalah penting bagi memulihkan kembali keyakinan rakyat terhadap institusi raja serta memperbaiki kerosakan yang telah berlaku akibat kenyataan tidak bertanggungjawab ini,” katanya. – MalaysiaGazette

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *