December 23, 2024

Nilai: Modus operandi mereka adalah menyasarkan kediaman di perumahan elit yang memasang lampu pada siang hari sebelum memecah masuk ketika ketiadaan penghuni.

Dalam kejadian 12.30 tengah hari 13 Ogos lalu, tiga suspek memecah masuk rumah seorang pegawai tinggi kerajaan bergelar Tan Sri di Nilai Impian, di sini. 

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Abdul Malik Hasim berkata, dua daripada suspek berkenaan ditahan dan pihaknya masih memburu seorang lagi yang masih bebas.

“Kira-kira 1.10 tengah hari 13 Ogos lalu, Kaunter Aduan Balai Polis Nilai menerima laporan daripada seorang lelaki berkaitan satu kes pecah rumah di Nilai Impian.

“Ia membabitkan kediaman pegawai tinggi kerajaan bergelar Tan Sri. Terdapat beberapa barang hilang ketika kejadian dengan anggaran kerugian kira-kira RM5,000,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambah beliau, siasatan mendapati terdapat kesan umpil pada jeriji pintu utama dan pintu masuk utama. 

Katanya, modus operandi suspek adalah memantau mana-mana rumah yang masih memasang lampu pada waktu siang kerana mereka tahu pasti tiada penghuni di rumah itu. 

“Sebab itu, kejadian ini berlaku pada waktu tengah hari berbanding kejadian pecah rumah biasa yang dilakukan pada waktu malam atau awal pagi,” katanya.

Beliau berkata, susulan kejadian, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Nilai dan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kontinjen Negeri Sembilan membuat tangkapan terhadap dua lelaki pada 16 Ogos. 

Menurutnya, tiga suspek terbabit dalam kejadian ini dan polis memohon bantuan orang awam untuk menyalurkan maklumat bagi mengesan seorang lagi suspek dikenali sebagai Julian Said, 37 tahun, dan beralamat di Tawadakan, Jalan Kuda, Kota Belud, Sabah

“Orang ramai boleh hubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Muhammad Afandi Othman di talian 019-815 6812 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *