September 19, 2024

PETALING JAYA: Presiden Umno Zahid Hamidi mendedahkan turun berkempen sebanyak tujuh kali pada PRK Nenggiri dalam misi mempertahankan maruah parti, bukan semata-mata mahu merampas semula kerusi itu daripada Perikatan Nasional (PN).

Mendedahkannya pada sesi amanat presiden diadakan secara tertutup, seorang pemimpin Umno memberitahu FMT Zahid yang juga pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata dirinya tidak pernah turun sekerap itu pada mana-mana PRK.

Malah, sehari sebelum pengundian, Sabtu lalu, beliau menggempur lima pusat daerah mengundi (PDM) Orang Asli yang ternyata berbaloi apabila menerima sokongan padu daripada komuniti itu.

Presiden beritahu ini soal maruah Umno, jadi perlu kerja keras,

 kata pemimpin yang enggan namanya didedahkan, sambil memberitahu Zahid menerima tepukan gemuruh perwakilan sayap Wanita, Pemuda dan Puteri.

PRK Nenggiri 17 Ogos lalu menyaksikan calon BN Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani menang dengan majoriti 3,352 undi, sekali gus merampas semula kerusi dimenangi PAS pada PRN Ogos tahun lalu.

Dalam majlis amanat itu, Zahid turut memanggil Azmawi atau lebih popular dengan jolokan Awie naik ke pentas utama sebagai penghormatan kejayaan ketua Pemuda Kelantan merampas Nenggiri.

Gelombang merah bergema di dewan keramat itu apabila semua perwakilan bangun memberikan ‘standing oviation’ kepada Azmawi.

Terima kasih banyak Awie, (kita takkan menang) tanpa jentera parti yang kuat dan kukuh, tanpa kerjasama daripada yang di atas pentas dan di bawah sana,

 Zahid dilaporkan berkata.

Zahid turut merakamkan terima kasih kepada Ketua Umno Kelantan Jazlan Yaakub; Pengarah Pilihan Raya BN Nenggiri Tengku Razaleigh Hamzah yang memimpin gerak kerja parti, serta jentera sayap Wanita, Pemuda dan Puteri yang tanpa lelah berkempen rumah ke rumah sepanjang tempoh 14 hari.

Beliau juga menyatakan penghargaan kepada semua ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) ke PRK itu, yang turut menyumbang kemenangan besar Umno.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *